Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang telah memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya bagi tempoh satu tahun bermula 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.
Azam Baki dilantik semula

Foto: The Edge Malaysia
Azam berkata, perkenan baginda itu adalah satu penghormatan besar buat dirinya dan seluruh warga SPRM atas sokongan untuk menggalas tanggungjawab ini secara berterusan.
“Sesungguhnya perkenan ini merupakan suatu penghormatan besar kepada Ketua Pesuruhjaya dan seluruh warga SPRM.
“Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan dukungan berterusan dalam meneruskan amanah ini.
“Dengan penuh kesedaran akan tanggungjawab dan amanah yang diberikan, saya akan terus menerajui usaha SPRM dalam membanteras segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa demi mewujudkan sebuah negara yang makmur, adil dan sejahtera,” kata Azam dalam kenyataan di Facebook pada Isnin.
Sementara itu, beliau memberitahu pihak SPRM komited dalam memperkukuhkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) demi menjaga kesejahteraan dan nama baik negara di peringkat global.

Foto: Portal Hello
“SPRM juga komited untuk meningkatkan skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara agar Malaysia terus dihormati dan diyakini di peringkat antarabangsa.
“Semoga ALLAH SWT melimpahkan rahmat serta kesejahteraan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri dalam memimpin negara ke arah masa depan yang gemilang,” jelasnya.
Artikel lain: Ismail Sabri Adalah Suspek, Bukan Lagi Saksi – Azam Baki
Untuk rekod, Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya setelah beliau mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya, selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Sumber: Facebook SPRM
