Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengaku tidak mengambil gaji Yang di-Pertuan Agong sepanjang lima tahun memerintah negara.
Selain gaji, Al-Sultan Abdullah juga mendedahkan mengenai detik awal memikul tanggungjawab sebagai ketua negara yang bukan sahaja sukar akibat pergolakan politik pada ketika itu.
Malah, baginda juga berada dalam keadaan kabur dengan jawatan dan peranan yang perlu disandang sewaktu memasuki Istana Negara pada 31 Januari 2019.
“Detik pertama saya masuk Istana Negara memberi pengalaman agak manis apabila diingat semula. Ini kerana saya masuk ke jawatan yang saya sendiri tidak pasti apa peranannya.
“Ketika dilantik, saya baru 15 hari menjadi Sultan Pahang, banyak perkara yang saya masih tak tahu dan kemudian terus dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong. Memang ia agak sukar bagi saya kerana tiada pengalaman, tetapi saya belajar perlahan-lahan.
“Ditambah dengan empat Perdana Menteri yang ada sepanjang lima tahun saya menjadi Agong, siapalah saya dibandingkan dengan mereka yang berpengalaman, tetapi saya banyak bertanya, belajar dan membaca,” titah baginda pada sesi bersama media di Istana Negara.
Hari ini, genaplah lima tahun pemerintahan Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 berkuat kuasa 31 Januari ini.
Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, juga selama lima tahun dan mulai dari tarikh sama.
Artikel lain: Sultan Johor Dipilih Sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-17
Al-Sultan Abdullah menulis pengalaman sepanjang lima tahun menjadi Agong
Kongsi baginda, baginda menghadiri 157 kali mesyuarat pra-Kabinet hampir satu jam yang ditukarkan pada setiap Selasa berbanding Rabu sebelum ini sepanjang menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Baginda juga akan membaca kertas Kabinet pada sehari sebelum perjumpaan bersama Perdana Menteri bagi membolehkannya mengetahui isu dibincangkan.
“Saya akan bertanya mana-mana kertas Kabinet yang saya perlu tahu dan jika tidak bersetuju, saya nyatakan pandangan itu.
“Alhamdulillah, segala pandangan dan nasihat saya diterima dan begitu juga sebaliknya. Kita ada kerjasama dua hala dan teguran saya kepada Perdana Menteri juga dimaklumkan kepada Kabinet.
“Hubungan baik ini perlu diteruskan kerana segala tadbir urus negara boleh diselesai menerusi mesyuarah antara Yang di-Pertuan Agong dengan Perdana Menteri. Ada juga sesi dengan menteri dan jika ada isu dibangkitkan, ia juga diselesai secara berhemah.
“Saya suka menulis dan sepanjang lima tahun menjadi Agong, saya mencatat segala maklumat dan teguran penting kepada kerajaan, setakat ini sudah ada tujuh buku catatan itu.
“Saya suka membaca dan mendalami urus tadbir negara, ia sesuatu yang menarik. Ini kerana ketika di Pahang, saya menjadi Tengku Mahkota selama 16 tahun dan 15 hari sebagai Sultan Pahang, ini semua tak pernah saya lalui.
“Buku yang saya tulis ini juga boleh dirujuk semula ketika bersama keluarga apabila tua nanti, sekurang-kurangnya saya boleh berkongsi dengan anak-anak apa peranan saya ketika menjadi Agong.
“Ada rakan mencadangkan saya menulis memoir tetapi bukan sekarang. Saya juga ada mempelawa satu universiti jika mahu membuat kajian kes, saya sedia berkongsi pengalaman mengenai apa yang dilalui sepanjang menjadi Agong,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah, pada Artikel 40 (1), Yang di-Pertuan Agong bukan saja mendengar nasihat daripada Perdana Menteri, tetapi juga boleh mendapatkan mana-mana maklumat berkaitan urus tadbir negara daripada pihak lain.
Ini membuktikan kuasa Yang di-Pertuan Agong sangat luas walaupun tiada kuasa eksekutif, namun cukup untuk melunaskan urusan tadbir negara dalam konteks yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Agong juga berperanan sebagai panglima tertinggi tentera, namun peranan itu mungkin boleh diperkukuhkan lagi, bukan setakat ambil tabik saja.
“Polis baru-baru ini ada cadangan menjadikan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua kehormat yang akan dibincang dalam Parlimen pada masa terdekat. Ini formaliti saja supaya Agong boleh memakai seragam polis dan ini sesuai dengan perkataan diraja pada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu,” titah baginda.
Baginda sering merujuk sesuatu isu kepada Majlis Raja-Raja (MRR) sebelum keputusan dibuat mengenainya dan ia dilakukan bagi menghormati pelantikan baginda ke jawatan itu dibuat oleh majlis berkenaan.
“Saya sedar lantikan saya dibuat dengan perkenan MRR dan saya bertindak juga bagi mewakili MRR. Apa yang saya buat ialah saya bermesyuarah dan berbincang yang akhirnya saya sendiri akan membuat keputusan mengenainya.
“Contohnya, Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong tetapi perkara itu saya bincang dengan MRR, saya dengar pandangan dan maklumkan keputusan siapa yang akan dilantik,” titah baginda lagi.
Al-Sultan Abdullah gembira pulang ke Pahang, santuni rakyat
Sementara itu, baginda gembira untuk pulang ke Pahang dan menyantuni rakyat selain turut mengakui peranan terbabit berbeza ketika memimpin negara.
“Saya suka berjumpa dan membantu rakyat kerana ia memberi semangat kepada saya. Sebenarnya banyak kerja yang perlu dilakukan di Pahang nanti sebab saya hanya sempat menjadi Sultan Pahang selama 15 hari saja sebelum ini.
“Kini rakyat menantikan saya sebagai sultan, jadi saya dan isteri, akan melawat setiap daerah untuk bertemu rakyat dan membantu mereka yang miskin.
“Bagi saya, mungkin saya bukan raja Malaysia lagi selepas ini, tetapi saya tetap akan jadi raja di hati anda semua selamanya,” titah baginda.
Sumber: Harian Metro (Sariha Mohd Ali)