Apa yang sepatutnya menjadi misi kemanusiaan bertukar menjadi detik paling mengecewakan buat pempengaruh Malaysia, Aisar Khaled yang bertapak di Indonesia apabila niatnya menghulurkan bantuan di kawasan banjir di Pulau Bali disambut dengan herdikan seorang penduduk tempatan.
Artikel lain: Aisar Khaled Buat Rakyat Indonesia Sebak, Hadir Pengebumian ‘Rider’ Maut Ketika Demonstrasi
Menerusi postingan di Instagram @aisar_khaledd, Aisar berkongsi momen ketika dia bersama pasukan membawa bantuan ke kawasan yang terjejas. Video itu turut disertakan dengan kapsyen ringkas seperti,
“Adab lebih tinggi daripada ilmu.” tulisnya
Pada awalnya, suasana kelihatan mesra dengan penduduk sekitar yang berkumpul bagi menerima bantuan yang dihulurkan.
Namun keadaan tiba-tiba bertukar tegang apabila seorang lelaki datang menghampiri dan mengherdiknya di hadapan orang ramai.
Lelaki berkenaan menuduh Aisar hanya mahu mencari perhatian di sebalik musibah banjir yang melanda kawasan itu.
“Kamu tak nampak orang tengah gotong-royong? Jangan kamu berada di sini lagi, jangan kamu eksis di sini, pergi sana,” katanya.
Aisar yang kelihatan terdiam seketika akhirnya terpaksa akur dengan desakan itu lalu berundur bersama pasukannya.
“Siap bang, terima kasih,” ujarnya.
Wajahnya jelas menunjukkan rasa kecewa kerana niat asalnya untuk menyalurkan bantuan telah disalah erti oleh sebahagian penduduk.
Walau begitu, tidak semua yang hadir bersikap keras terhadapnya. Beberapa penduduk lain dilihat cuba menenangkan keadaan dan menzahirkan kata-kata simpati kepada Aisar.
“Sabar ya bang ya,” pujuk penduduk lain.
Menurut keterangan seorang penduduk setempat, ketika kejadian mereka sebenarnya sedang giat membersihkan timbunan sampah yang dibawa arus banjir menggunakan lori.
Kehadiran orang ramai yang berkumpul untuk mendapatkan bantuan menyebabkan keadaan di lokasi menjadi lebih sukar untuk dikawal.
Insiden tersebut nyata meninggalkan kesan mendalam buat Aisar yang sekadar mahu membantu, namun akhirnya terpaksa pulang dengan rasa terkilan.
Meskipun berdepan situasi tidak dijangka, usaha dan niatnya untuk turun padang tetap mendapat perhatian ramai di media sosial.
Sumber: Instagram @aisar_khaledd
