Kerajaan Thailand menawarkan khidmat guaman kepada kesemua enam rakyat Malaysia, termasuk seorang penyanyi terkenal Kelantan.
Menurut laporan Kosmo! Online, Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, kerajaan negara itu turut menawarkan penterjemah bahasa bagi proses membela diri.
“Setakat ini, tiada sebarang keputusan dibuat oleh mereka berhubung perkara itu (melantik peguam).
“Siasatan dijalankan dengan telus dan teliti agar keputusan terbaik dapat diputuskan mengikut undang-undang di negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, ia terpulang kepada suspek untuk menerima perkhidmatan yang disediakan atau mengambil peguam lain bagi membantu dalam perbicaraan kes di mahkamah.
Terdahulu, Jadsadavit berkata, pihaknya sudah memiliki bukti cukup dan tidak memerlukan saksi lain bagi membantu siasatan berkaitan kes penahanan rakyat Malaysia ekoran penemuan 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Thailand baru-baru ini.
Jadsadavit menjelaskan penemuan pil tersebut dan ujian saringan awal air kencing ke atas semua suspek itu merupakan bukti paling kukuh untuk mereka direman selama 48 hari atau hampir tiga bulan.
Sumber: Kosmo! Online