Kuala Lumpur Rovers (KL Rovers) berkemungkinan akan menarik diri selepas pemain pasukan tersebut tidak menerima bayaran gaji mencecah lima bulan.
Menurut laporan Buletin TV3, perkara tersebut menyebabkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dikatakan tidak perlu bertemu KL Rovers untuk melepasi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia 2024/2025 yang akan berlangsung pada Rabu ini.
Foto: Facebook KLRovers
Isu tersebut disahkan jurulatih KL Rovers, Wan Mustafa Wan Ismail yang menyatakan barisan anak buahnya memberi pilihan sama ada pihak pengurusan melangsaikan tunggakan gaji atau mereka tidak akan bermain pada perlawanan penting itu.
Wan Mustafa berkata, situasi tersebut mengganggunya dalam usaha menyediakan barisan pemain terbaik bagi mengharungi juara Piala Malaysia musim lalu itu.
Beliau turut berkata, sesi latihan setiap hari termasuklah perlawanan persahatan tidak dapat dijalankan ketika ini berikutan tidak cukup pemain selain kekurangan dana untuk melakukan persiapan rapi.
“Sememangnya barisan pemain memberi kata dua kepada saya iaitu bayar tunggakan gaji atau mereka tidak akan turun menentang JDT pada Rabu ini.
“Saya sudah berusaha memujuk pemain untuk beraksi demi pasukan. Saya tetap ada untuk mengharungi perlawanan itu cuma tidak pasti pemain ada atau tidak.
“Jika diikutkan KL Rovers tidak mampu melakukan persiapan rapi kerana kekurangan pemain dan dana namun harap kita tidak berhadapan masalah menentang JDT kelak,” katanya.
Foto: Facebook KLRovers
Berdasarkan rekod, KL Rovers merupakan naib juara Liga A1 Semi-Pro musim 2023 dan turut menghuni kedudukan ketiga liga dengan 41 mata selepas mengharungi 18 perlawanan setakat ini.
Terdahulu, pemain KL Rovers dikatakan berada dalam situasi tenat apabila tidak menerima gaji selama empat bulan.
Setakat ini, masih tiada tanda-tanda masalah itu akan diselesaikan segera walaupun telah melakukan rayuan kepada pihak pengurusan.
Malah, barisan skuad KL Rovers kini mula berkira-kira untuk memboikot perlawanan Liga A1 Semi Pro susulan isu tersebut.
Sumber: Buletin TV3