Berhubung cadangan bagi menghentikan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang 30 peratus, pihak PTPTN akan mengeluarkan kenyataan rasmi.
Memetik laporan Sinar Harian, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengingatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang kesimpulan, susulan cadangan demikian dan telah meneliti beberapa aspek dan faktor secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan.
Foto: TheSun
“PTPTN mempunyai jawatankuasa yang dibentuk dan biar mereka keluarkan kenyataan berpandukan kepada mesyuarat yang diadakan.
“Kita jangan membuat kesimpulan terlebih dahulu kerana PTPTN melihat semua aspek,” katanya pada Ahad.
Foto: The Malaysian Reserve
Sebelum ini, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, perbadanan sedang menimbang perkara itu sebagai sebahagian usaha untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.
Zambry berkata lagi, PTPTN perlu memberi perhatian khusus kepada golongan yang langsung tidak pernah membayar balik pinjaman mereka dan ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti pekerjaan tidak stabil.
Foto: Carian Google
Tambah beliau , dalah penting bagi peminjam untuk berinteraksi dengan pihak PTPTN supaya badan itu dapat memahami keadaan kewangan mereka.
“Tetapi ada juga yang langsung tidak peduli untuk melakukan pembayaran balik sejak hari pertama lagi, yang itu kita kena berikan perhatian,” ujarnya.
Menurut Zambry juga, kenyataan secara rasmi akan dikeluarkan badan itu dalam masa terdekat.
“PTPTN akan mengeluarkan kenyataan mereka secara rasmi, saya tidak mahu mengupas atau mengulas kerana mereka ada jawatankuasa yang dibentuk,” jelasnya.
Sumber: Sinar Harian