Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Mohamad Nor yang mendakwa Kerajaan Pulau Pinang pilih kasih mengagih air disifatkan rasis dan berbaur hasutan.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membidas dakwaan terbabit dengan menyatakan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu sering berbohong dan bercakap tanpa fakta.
Foto: Sinar Harian
“Itu mirip kenyataan hasutan dan juga bersifat rasis, beliau sering kali tidak bercakap dengan fakta, buka mulut sahaja bohong.
“Ini sikap tidak baik bagi seorang Menteri Besar, tidak patut beliau berkelakuan seperti itu,” katanya pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Sementara itu, Fahmi berkata, Sanusi mampu bercakap di atas pentas ceramah dengan menyatakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menang dengan majoriti 100 undi sedangkan carian di Google fakta menunjukkan kemenangannya adalah majoriti 16,000 undi.
Foto: The Malaysian Reserve
“Jadi kalau dalam perkara asas seperti ini beliau gagal, apatah lagi menguruskan pentadbiran kerajaan negeri.
“Beliau banyak mengumumkan projek-projek swasta dan apabila projek-projek ini tidak berjalan, beliau berkata, ini bukan masalah dia. Dia adalah seorang yang sangat bermasalah,” ujarnya.
Terdahulu, Sanusi mendakwa Kerajaan Negeri Pulau Pinang pilih kasih dalam agihan air dengan membiarkan kawasan majoriti Melayu menghadapi masalah air berlarutan.
Namun begitu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow tidak menafikan bahawa negeri terbabit sedang berhadapan dengan cabaran air namun ia masih dalam keadaan terjamin secara keseluruhannya.
Sumber: Malaysia Gazette (Mohd Zaini Samsu Hadi)