Kejelasan, kestabilan dasar serta politik menjadi faktor utama yang menarik minat pelabur asing ke Malaysia.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Rancangan Malaysia (RMK), Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) antara contoh dasar kerajaan yang jelas dan konsisten.
Minat pelabur asing
“Mereka juga melihat bahawa Malaysia berbanding negara ASEAN yang lain, mempunyai bukan kestabilan politik semata-mata tetapi dasar yang jelas.
“Walau siapa pun menjadi kerajaan, tetapi beberapa dasar seperti RMK itu diteruskan dan kita lihat ini memberi satu keyakinan kepada para pelabur untuk memilih Malaysia,” katanya semasa sesi pertemuan dengan diaspora Malaysia di sini.
Bulan lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan (MIDA) mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025. Ia meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun meski berdepan persekitaran ekonomi global yang mencabar.
Sementara itu, pada pertemuan bersama kira-kira 50 tetamu terdiri daripada warga Malaysia yang berkerja di Switzerland, pelajar serta kakitangan Malawakil itu, Datuk Fahmi turut berkongsi kemajuan negara dalam sektor komunikasi.
“Malaysia merupakan antara 10 negara di dunia yang mempunyai harga Internet paling murah dan mempunyai Internet kedua terpantas di Asia Pasifik selepas Korea Selatan,” jelasnya lagi.
Artikel lain: Tuduhan Lawatan Rasmi PM Hanya ‘Jalan-Jalan’ Cerminan Kepemimpinan Berminda Kecil – Farhan
Pertemuan dengan pemimpin dunia
Dalam pada itu, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman menyifatkan pertemuan tersebut sebagai peluang rakyat Malaysia di situ untuk berinteraksi secara langsung bersama Datuk Fahmi serta mengetahui perkembangan terbaharu tanah air.
“Program hari ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Geneva untuk bertukar tukar padangan dengan menteri serta dapat juga mendengar sendiri perkembangan isu-isu terkinii di tanah air,” menurutnya.
Presiden Persatuan Malaysia Geneva, Syakira Ramli pula memaklumkan pelbagai topik dapat dibincangkan termasuk bidang yang boleh dipertingkat melalui Switzerland.
“Switzerland dikenali sebagai sebuah negara yang sangat berdaya saing dalam aspek pentadbiran serta amat menitikberatkan pemantauan kemajuan. Negara ini sentiasa berusaha mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, pendidikan dan infrastruktur, demi memastikan kemajuan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Datuk Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Dunia mengenai Acara Peringkat Tinggi Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) yang diadakan pada 7 hingga 11 Julai.
Sumber: RTM
