Malaysia mampu capai Top 25 dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah seperti mana telah diumumkan dalam Belanjawan tidak lama lagi.
Malah, ia juga mempengaruhi peningkatan kadar penyertaan tenaga buruh wanita ke 6o peratus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan turut menggalakkan usaha ke arah mendepani arus teknologi digital dan komunikasi termasuklah perkembangan artificial intelligence (AI) sebagai satu pendekatan baharu dalam menangani isu sosial demi mencapai aspirasi kemakmuran bersama.
Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan beberapa langkah untuk dinilai dan dipertimbangkan pelaksanaannya oleh pelbagai pihak.
Ini bagi mengurangkan masalah kesenjangan sosial selari dengan perkembangan era semasa dengan antaranya mewujudkan Platform Perkhidmatan Sosial Digital bagi menggabungkan semua perkhidmatan sosial kerajaan, NGO, dan sektor swasta.
“Platform ini berperanan sebagai pusat sehenti untuk sokongan kesihatan mental dan kebajikan, menyediakan Hab Teknologi Berasaskan Komuniti dengan mewujudkan pusat latihan literasi digital dan inkubator keusahawanan sosial dan Intervensi Melalui Media dengan meningkatkan kandungan media yang mempromosikan nilai-nilai positif, mendidik masyarakat tentang isu-isu sosial,”menurut kenyataan.
Artikel lain: Kerajaan Perhalusi Cadangan, Atasi HIV/AIDS & Keciciran Pendidikan Golongan Belia
Sebelum itu, Zahid Hamidi telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 3 Tahun 2024 yang turut dihadiri oleh YB Menteri-menteri, YB Timbalan Menteri serta pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang terlibat.
Antara yang hadir ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Hasil daripada mesyuarat tersebut, MSN bersetuju untuk menambahbaik pengurusan banduan kategori rentan iaitu warga emas, orang kelainan upaya (OKU), pesakit mental, pesakit kronik di institusi Jabatan Penjara Malaysia.
Keputusan itu dibuat susulan kesesakan banduan dalam penjara yang dihadapi ketika ini.