Pertikaian perceraian berprofil tinggi antara Pamela Ling dan suaminya, ahli perniagaan Malaysia Thomas Hah Tiing Siu, terus berkembang dengan dakwaan penipuan dan pemalsuan dokumen yang kini melibatkan isu kontroversial mengenai label halal.
Menurut laporan The Edge, dokumen mahkamah yang difailkan oleh Ling di Singapura mendedahkan dakwaan bahawa Hah telah mengisytiharkan produk daging tanpa sijil halal sebagai halal untuk mengeksploitasi kadar cukai import yang lebih rendah. Tindakan ini bertujuan untuk memberi keuntungan lebih besar dalam perniagaan keluarga mereka.
Pada 7 April 2025, dua hari sebelum hilang, Ling dilaporkan telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pengarah Imigresen.
Dalam permohonan itu, Ling memohon agar waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya pada 2 Disember 2024 dibatalkan, dan menuntut pemulangan dua telefon bimbit yang dirampas oleh SPRM serta pampasan sebanyak S$20,401.14 (RM67,700) dan RM70,000 bagi perbelanjaan yang telah ditanggung.
Ling Dakwa Suami Tipu
Ling turut mendakwa tandatangannya telah dipalsukan pada Julai 2023 dalam beberapa dokumen pemindahan saham dan resolusi lembaga yang mengakibatkan lebih separuh pegangan sahamnya dalam syarikat Multi Galaxy Pte Ltd (dahulunya dikenali sebagai Joinland Group Pte Ltd) dipindahkan kepada suaminya.
Syarikat tersebut terlibat dalam penyewaan hartanah.
Dalam pada itu, dia juga mendakwa bahawa tindakan pihak berkuasa Malaysia, termasuk sekatan perjalanan dan penahanan terhadapnya, adalah untuk memaksanya menggugurkan tuntutan berkaitan harta sepencarian dan pertikaian lain dengan suaminya.
Artikel lain: Pemandu E-Hailing Dedah Diarah ‘Complete Job’, Pamela Dipaksa Keluar Kereta
Dalam dokumen mahkamah yang dikemukakan kepada The Edge, Ling berkata: “Hah jelas bimbang akan kesan daripada pemalsuan dokumen yang dipertikaikan dan kemungkinan saya memulakan tindakan undang-undang mengenai perkara itu.”
Manipulasi SPRM dan Siasatan Daging Halal
Selain isu pemalsuan tandatangan, Ling turut mendakwa bahawa suaminya memanipulasi SPRM sebagai alat untuk memaksanya menyelesaikan pertikaian mereka.
Menurut laporan The Edge, tiga pegawai SPRM telah menemui abang Ling pada Julai 2024 untuk mengetahui keberadaan wanita itu, dan laporan juga mendedahkan bahawa SPRM ingin menyoal siasat Ling berhubung dakwaan suaminya mengimport daging tanpa sijil halal dan menjualnya sebagai halal.
Ling juga mendakwa bahawa akaun bank bapanya dibekukan oleh SPRM ekoran siasatan terhadap perniagaan keluarganya.
Pada Oktober 2024, Ling diberitahu oleh pegawai Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) bahawa beliau perlu menghadiri pertemuan dengan SPRM pada 29 Oktober 2024, tetapi memohon agar pertemuan itu diadakan di Singapura atau secara maya kerana dua anaknya yang sedang menerima rawatan di Singapura.
Misteri, kehilangan Pamela Ling jadi sensasi…
Pada 2 Mei 2025, keluarga Ling mendedahkan bahawa beliau telah diculik pada 9 April 2025, sebelum sempat bertemu dengan pegawai SPRM untuk membantu siasatan pengubahan wang haram. Pemandu Grab yang membawa Ling melaporkan bahawa keretanya dihentikan oleh individu berpakaian seragam polis yang memaksanya keluar dari kenderaan dan menandakan perjalanan sebagai “selesai”.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa pihak polis sedang menyiasat kemungkinan suami Ling, Thomas Hah, terlibat dalam kes penculikan ini.
Pertikaian penceraian yang melibatkan pemalsuan dokumen, penipuan daging halal, dan dakwaan manipulasi oleh pihak berkuasa Malaysia telah menambah lapisan ketegangan dalam kes ini. Kehilangan Pamela Ling hanya menambah misteri dan kesulitan dalam pertikaian yang masih belum menemui jalan penyelesaian.
Pihak berkuasa Malaysia dan Singapura kini sedang menjalankan siasatan mendalam untuk merungkai peristiwa-peristiwa ini.
Sumber: The Edge
