Satu tragedi menyayat hati menggemparkan penduduk Kampung Pamah Kulat, Raub apabila lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah, awal pagi tadi.
Lima sekeluarga ditemui dalam sebuah rumah
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3.35 pagi sebelum pihak berkuasa menerima maklumat mengenai insiden tersebut.
Memetik laporan daripada Bernama, Ketua Polis Daerah Raub, Supt Mohd Shahril Abdul Rahman menyatakan pihaknya segera ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Sejurus pemadaman kita menjumpai kesemua mangsa di lokasi kejadian, “ katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, kesemua mayat akan dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.
Lima sekeluarga maut, 3 kereta & 3 motosikal juga hangus
Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim memaklumkan pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 4.15 pagi.
Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira jam 4.48 pagi.
Kebakaran berkenaan dilaporkan memusnahkan keseluruhan struktur rumah, selain turut melibatkan tiga buah kereta dan tiga motosikal yang hangus terbakar.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya.
Artikel lain: Kes Empat Sekeluarga Dibunuh, Tekanan Kewangan Dipercayai Punca
Operasi tersebut melibatkan sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dari BBP Raub, dengan bantuan lima anggota serta satu FRT dari BBP Lipis.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Sumber: Bernama







































