Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Panchor di pekan Pagoh, petang tadi.
Kereta terjunam di Sungai Panchor
Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar menyatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar pukul 2.47 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna hitam terjunam ke dalam sungai akibat kemalangan.
“Maklumat daripada saksi di tempat kejadian terdapat mangsa masih dalam kenderaan dipercayai pemandu kereta tersebut,” katanya.
SAR giat dijalankan di Sungai Panchor
Beliau memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan, namun identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
Seramai 14 anggota BBP Pagoh bersama Pasukan Penyelamat di Air (PPD) BBP Muar dikerahkan ke lokasi dengan menggunakan tiga jentera dan sebuah bot fiber. Lokasi kejadian terletak kira-kira 5 kilometer dari balai berkenaan.
Artikel lain: Mesin Padi Terjunam Dalam Sungai: Remaja Lelaki Ditemui Lemas, Bapa Reda Wajah Anak Bersih & Tenang
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial apabila orang ramai memuat naik rakaman sebuah kereta dipercayai terjatuh ke dalam sungai, dengan dakwaan awal mengatakan ia melibatkan pasangan suami isteri.
Setakat ini, operasi menyelamat masih diteruskan bagi mengesan mangsa dan mengeluarkan kenderaan yang tenggelam di dasar sungai.