Jabatan Kesihatan Kelantan menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat dan meneliti secara holistik kes kematian seorang doktor pelatih wanita di asrama Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai, kelmarin.
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Azman Yacob, berkata jawatankuasa berkenaan akan cuba mengenal pasti punca kejadian termasuk dari aspek tekanan tempat kerja dan faktor penyumbang lain.
“Kita berdukacita dengan kejadian berlaku dan saya ada menziarah keluarganya pagi tadi.
“Arwah adalah doktor pelatih wanita dari Universiti Monsoura, Mesir dan sedang menjalani praktikal.
“Kita akan menjalankan siasatan secara holistik dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan emosi keluarga arwah,” katanya ketika dihubungi.
Jabatan Kesihatan Kelantan Siasat
Semalam, media melaporkan seorang doktor pelatih wanita berusia 29 tahun ditemui mati di sebuah bilik asrama HSIP Kuala Krai.
Artikel lain: Tiada Insiden Baharu! Video Gaduh Di Hospital Bukit Mertajam Rakaman Lama – Polis
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, dilaporkan berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada pihak hospital kira-kira jam 9.55 pagi semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di salah sebuah bilik asrama HSIP Kuala Krai dan mangsa ditemui dalam keadaan sudah tidak bernyawa.
Sumber: BH Online (Nor Fazlina Abdul Rahim)










































