Seorang wanita meluahkan rasa lega selepas lelaki yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk dan khayal sehingga menyebabkan kematian suaminya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, hari ini.

Foto: Utusan
Menurut laporan Kosmo! Online, isteri mangsa Nurul Nadia Abdul Majid, 32, berkata, dia bersyukur apabila suspek akhirnya didakwa atas pertuduhan membunuh susulan insiden yang meragut nyawa suaminya, Amirul Hafiz Omar, 33.
“Pertama sekali, syukur Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah atas pertuduhan ini.
“Saya rasa sedikit lega hari ini. Satu sahaja saya nak cakap, nyawa dibalas nyawa. Itu sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online di lobi pekarangan mahkamah.

Foto: Kosmo! Online
Nurul Nadia berkata, perkembangan kes tersebut sedikit sebanyak memberikan kelegaan selepas menanggung beban emosi sejak kejadian itu berlaku.
“Saya sangat bersyukur dan berpuas hati hari ini. Rasa diri ini lega sedikit. Alhamdulillah, syukur,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Foto arkib: Bernama
Hari ini, seorang juruteknik berusia 28 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal selepas dipercayai memandu dalam keadaan mabuk dan khayal, Ahad lalu.
Tertuduh, R. Saktygaanapathy hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah atas kesalahan memasukkan dadah jenis benzodiazepine dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira pukul 3.30 petang pada hari yang sama.

Foto: Media sosial
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 serta perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Tertuduh tidak diwakili peguam dan tidak menawarkan sebarang jaminan selain sebutan semula kes pada 3 Jun depan.
Advertisement. Scroll to continue reading.
Terdahulu, Amirul Hafiz dilaporkan tercampak dan melambung daripada motosikal ditunggang sebelum badannya jatuh di atas sebuah kenderaan lain akibat impak pelanggaran oleh kereta jenis Honda City yang dipandu tertuduh.

Foto: Media sosial
Sumber: Kosmo! Online 1 & 2 (Mohd Yunus Yakkub)