Suspek yang disyaki terbabit dalam insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) di Nilai dipercayai bersembunyi di kawasan hutan dekat Batang Benar dalam keadaan cedera parah dan tidak bermaya, sebelum akhirnya berjaya dikesan polis.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, ketika suspek ditahan pada petang kelmarin, lelaki berusia 62 tahun itu berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga tidak mampu bangun, selain mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan.
Menurutnya, suspek dipercayai melarikan diri ke kawasan hutan berkenaan selepas kejadian letupan di parkir sebuah kawasan perumahan di Desa Palma, Nilai, pada 22 Disember lalu.
“Suspek dikatakan bersembunyi di kawasan hutan dekat Batang Benar dengan kesan kecederaan melecur pada muka, tangan dan kaki.
“Ketika ditemui, suspek memang dalam keadaan tidak bermaya, bersama sebuah motosikal serta beberapa peranti IED,” katanya.
Artikel lain: Peranti Buatan Sendiri Punca Berlaku Letupan Di Kawasan Pangsapuri
Alzafny berkata, sekiranya suspek tidak ditemui dalam tempoh satu atau dua hari, lelaki warga emas itu berkemungkinan besar akan meninggal dunia akibat kecederaan dan keadaannya yang semakin lemah.
Beliau menjelaskan, penahanan suspek berlaku selepas orang awam yang masuk ke kawasan hutan untuk mencari hasil ternampak lelaki berkenaan sebelum segera menghubungi pihak polis, susulan siaran media mengenai usaha mengesan suspek.
“Maklumat daripada orang awam sangat membantu. Tanpa maklumat itu, kemungkinan besar suspek tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.
Menurutnya, suspek kini masih dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban dan berada dalam keadaan tidak bermaya, sekali gus menyukarkan polis mendapatkan keterangan lanjut setakat ini.
“Buat masa sekarang, tidak banyak maklumat dapat diperoleh daripada suspek kerana dia masih menerima rawatan. Siasatan tetap diteruskan sementara menunggu keadaannya stabil,” jelasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan di sebuah jalan berhampiran Batang Benar dalam keadaan lemah, dengan kesan kecederaan di badan dan muka.
Dalam kejadian awal pagi 22 Disember lalu, sebuah peranti IED dipercayai meletup di dalam sebuah kereta ketika suspek didakwa cuba mengalihkan peranti tersebut sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Polis sebelum itu turut meminta bantuan orang awam bagi mengesan suspek yang dipercayai menjadikan sebuah rumah di Desa Palma sebagai makmal pembuatan IED, selain dikenal pasti mempunyai pengetahuan berkaitan pembuatan bahan letupan.
Sumber: Harian Metro (Ahmad Hasbi)







































