Seorang wanita warga emas buta terpaksa merangkak keluar dari rumah untuk mendapatkan bantuan selepas hidup selama beberapa hari bersama mayat anak perempuannya dalam kejadian menyayat hati di Kampung Telok Sabang pada Jumaat.
Mangsa, Jariyah Suut, 69, ditemui orang awam dalam keadaan sangat lemah di tepi jalan besar sekitar jam 6.30 pagi selepas merangkak sejauh kira-kira 150 meter melalui denai sempit yang terletak dalam kawasan belukar.
Ibu Buta Merangkak 150 Meter Keluar Cari Bantuan
Beliau dilaporkan nekad keluar dari rumah selepas menyedari mayat anaknya mula mereput dan mengeluarkan bau busuk di kediaman mereka.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintenden Damataries Lautin berkata, anak wanita itu yang berusia 48 tahun sebelum itu mengadu sakit dada dan sesak nafas pada 30 November lalu.
Menurutnya, wanita berkenaan yang buta sepenuhnya menyedari anaknya telah meninggal dunia namun tidak mampu berbuat apa-apa selain menunggu bantuan.
“Bagaimanapun, bau busuk yang semakin kuat pada 4 Disember menyebabkan si ibu tidak lagi mampu bertahan, lalu mengumpulkan seluruh tenaga untuk merangkak keluar dari rumah mereka dengan berpandukan sentuhan di sepanjang laluan denai sempit sejauh kira-kira 150 meter.
“Wanita itu merangkak dalam keadaan lemah dan tanpa penglihatan sehingga akhirnya tiba di tepi jalan besar pada awal pagi keesokan harinya sebelum ditemui orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Damataries berkata, pasukan polis bersama unit forensik kemudian ke rumah mangsa dan mendapati anaknya telah meninggal dunia lebih lima hari.
“Bagaimanapun, tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan mayat juga telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses bedah siasat.
“Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian sebagai serangan jantung akibat tiga saluran jantung tersumbat sepenuhnya dan kes seterusnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Sumber: Sinar Harian (Asyikin Asmin)













































