Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas tuduhan menikam anak lelakinya yang berusia 11 tahun dengan niat membunuh sehingga menyebabkan kecederaan serius.
Menurut laporan Sinar Harian, tertuduh Asrolfandi Ab Suki, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibicarakan dihadapan Hakim Zulkpli Abdullah, dan memohon agar perbicaraan dijalankan.

Foto: Sinar Harian
Berdasarkan pertuduhan, insiden itu didakwa berlaku sekitar jam 8.55 pagi pada 2 Mei lalu di sebuah rumah di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung, Pasir Mas.
Tertuduh dikatakan telah menggunakan sebilah pisau untuk menikam mangsa dengan niat membunuh, mengakibatkan kecederaan di bahagian dada dan perut.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Aiysha Na’ilah Harizan, memohon agar tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk menjalani pemerhatian serta penilaian psikiatri. Permohonan itu tidak dibantah oleh pihak pembelaan.
Hakim kemudian membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan tertuduh dihantar ke hospital berkenaan serta tarikh semula sebutan kes ditetapkan pada 15 Jun depan.

Foto: Buletin TV3
Sebelum ini, tertuduh telah direman selama dua minggu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, media melaporkan mangsa yang merupakan anak bongsu tertuduh ditikam dua kali di bahagian dada dan sekali di perut menggunakan pisau pemotong sayur.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada krisis rumah tangga, dimana tertuduh sedang melalui proses penceraian dengan isterinya.
Sumber: Sinar Harian (Aswany Omar)
