Syarikat teknologi gergasi, Meta Platforms, dilaporkan merancang pemberhentian pekerja secara besar-besaran yang berpotensi menjejaskan lebih 20 peratus tenaga kerjanya.
Langkah itu dilihat sebagai usaha syarikat tersebut menampung kos pelaburan besar dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) serta meningkatkan kecekapan melalui penggunaan teknologi berkenaan dalam operasi kerja.
Menurut laporan Reuters yang memetik sumber mengetahui perkara itu, tiada tarikh ditetapkan bagi pelaksanaan pengurangan tersebut dan jumlah sebenar pekerja yang terlibat juga belum dimuktamadkan.
Eksekutif tertinggi syarikat itu dilaporkan telah memberi isyarat mengenai rancangan tersebut kepada pemimpin kanan lain serta meminta mereka mula merancang langkah pengurangan tenaga kerja.
Setakat ini, Meta masih belum memberikan sebarang komen rasmi mengenai laporan berkenaan.
Jika syarikat itu benar-benar melaksanakan pengurangan sehingga 20 peratus pekerja, ia bakal menjadi pemotongan terbesar sejak penstrukturan semula syarikat pada hujung 2022 dan awal 2023 yang digelar sebagai “tahun kecekapan”.
Sehingga 31 Disember lalu, Meta mempunyai hampir 79,000 pekerja di seluruh dunia berdasarkan laporan kewangan terkininya.
Artikel lain: Laksana Pelbagai Perubahan, Meta Rancang Buang 5% Pekerja Catat Prestasi Buruk
Pada November 2022, syarikat itu menamatkan perkhidmatan kira-kira 11,000 kakitangan atau sekitar 13 peratus tenaga kerjanya. Empat bulan kemudian, Meta sekali lagi mengumumkan pengurangan tambahan melibatkan 10,000 pekerjaan.
Sepanjang tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, giat mendorong Meta untuk bersaing lebih agresif dalam bidang kecerdasan buatan generatif.
Syarikat itu juga dilaporkan menawarkan pakej ganjaran lumayan, termasuk bernilai ratusan juta dolar dalam tempoh empat tahun, bagi menarik penyelidik AI terkemuka menyertai pasukannya.
Dalam masa sama, Meta merancang pelaburan sekitar AS$600 bilion (RM2.3 trilion) bagi membina pusat data baharu menjelang 2028.
Sumber: Reuters










































