Akta Keselamatan Dalam Talian 2024 dijangka dikuat kuasa dalam masa terdekat selepas beberapa proses penting yang berkaitan dimuktamadkan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata ketika ini beliau menunggu draf akta berkenaan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Akta Keselamatan Dalam Talian
“Setelah draf tersebut disiapkan dan saya menandatangani pewartaan, ia akan berkuat kuasa,” katanya dalam sidang media mingguan di sini hari ini.
Beliau berkata satu jawatankuasa juga akan dibentuk oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said selepas akta itu berkuat kuasa.
“Jawatankuasa itu kelak akan mempunyai kuasa kawal selia terhadap pelaksanaan akta tersebut, ‘ contohnya mengenai takrifan apa yang dimaksudkan dengan kemudaratan dalam talian,” katanya.
Artikel lain: Perkukuh Kerjasama Tenaga Serantau, PETRA Berjaya Anjur 6 Mesyuarat Di SOME Ke-43
Akta Keselamatan Dalam Talian
Sebelum ini, Azalina berkata undang-undang itu akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja Menteri Komunikasi menandatangani perintah penguatkuasaan sekali gus membolehkan kerajaan bertindak segera untuk menurunkan kandungan yang menyalahi undang-undang.
Di bawah akta itu, penyedia platform juga diwajibkan mematuhi tanggungjawab penjagaan yang ditetapkan.
Azalina berkata meskipun Akta Keselamatan Dalam Talian memberi tumpuan kepada kawal selia platform dan tanggungjawab digital, sebarang isu melibatkan kanak-kanak juga perlu dilihat melalui kerangka Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata keterlibatan jurubahasa isyarat dalam beberapa program penting akan dipertingkat kerana ia membantu memudahkan penyampaian mesej kepada golongan kurang upaya.
“Insya-Allah, saya akan berusaha untuk pastikan bukan hanya dengan Kementerian Komunikasi sewaktu sidang media tetapi juga dalam sidang Parlimen yang akan datang dan beberapa aspek yang lain.
“Keterlibatan rakan-rakan jurubahasa isyarat akan kita ketengahkan,” katanya.
Sumber: Bernama
