Tindakan provokatif Chegubard yang menyebat patung menyerupai Perdana Menteri secara terbuka dalam Himpunan Turun Anwar baru-baru ini dikecam hebat masyarakat.
Menurut laporan Malaysia Gazette, Aktivis politik, Syed Rosli Jamululai berkata, perbuatan itu bukan sahaja keterlaluan, malah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara, khususnya Kesopanan dan Kesusilaan serta Keluhuran Perlembagaan.

Foto: Malaysia Gazette
Artikel lain: Himpunan Turun Anwar: Chegubard Ditahan Polis, Disiasat Atas Dakwaan Menghasut
“Politik seharusnya berprinsip, bukannya didorong dendam dan kebencian melampau hingga tergamak mempersembahkan budaya politik samseng kepada rakyat.
“Perbezaan pandangan adalah perkara biasa, namun ia tidak boleh sampai menjatuhkan maruah negara di mata dunia melalui tindakan menghina dan tidak beradab,” katanya.
Beliau turut menuntut pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap tindakan tersebut.
“Negara ini perlu dipelihara dengan akhlak, adab dan perdebatan yang waras, bukan dengan simbol keganasan. Hormatilah demokrasi dan junjunglah nilai Rukun Negara,” ujarnya.
Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan polis di kediamannya pada Isnin bagi membantu siasatan berhubung penganjuran Himpunan Turun Anwar yang berlangsung Sabtu lalu.

Foto: Utusan Malaysia
Bagaimanapun, beliau dibebaskan semalam selepas permohonan reman empat hari oleh polis ditolak mahkamah.
Syed Rosli dalam pada itu menasihati Chegubard supaya tidak berlakon menjadi mangsa selepas dibebaskan daripada tahanan polis kerana tindakannya sebelum ini jelas bertentangan dengan tatasusila.
Sumber: Malaysia Gazette
