Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025 dengan perbelanjaan pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol berjumlah RM20.08 juta.
Diskaun tol 50% bagi kenderaan kelas 1
Foto: Facebook Alexander Nanta Linggi
Menerusi satu kenyataan, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun tersebut akan berkuatkuasa mulai 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 hingga 11.59 malam 28 Januari 2025 bagi kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol, kecuali di plaza tol sempadan negara.
‘’Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.
Foto: Carian Google
‘’Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.
Artikel lain: Kerajaan Pertimbang Tol Percuma Secara Bersasar – PM Anwar
‘’Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025 selaras dengan agenda Kerajaan MADANI..
“…dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan,’’ katanya hari ini.
Sementara itu, pengguna lebuh raya digalakkan memanfaatkan diskaun ini dengan merancang perjalanan dengan baik bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Pihak berkuasa menggalakkan pengguna jalan raya memuat turun aplikasi MYPLUS-TTA untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan dan meningkatkan keselamatan.