Selebriti popular Korea Selatan, T.O.P BIGBANG dikhabarkan mengalami kecederaan patah tulang rusuk tetapi nekad meneruskan sesi penggambaran bagi drama bersiri Netflix Squid Game 2.
Memetik laporan Kimchi Daily, demi menjayakan penggambaran berkenaan rakan artis Im Siwan memuji lakonan T.O.P kerana aktor itu masih mampu meneruskan sesi penggambaran meskipun ketika itu dia mengalami kecederaan patah tulang rusuk.
T.O.P BiGBANG Patah Tulang Rusuk Sewaktu Penggambaran Squid Game 2
Foto: Netflix
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku ketika mereka berdua sedang giat menjalani latihan bagi babak aksi sehingga menyebabkan penyanyi tersebut terjatuh.
“Kami pergi ke kelas berlakon aksi bersama-sama. Kami berdua melakukan sehabis baik dalam adegan aksi tersebut sehinggalah T.O.P terjatuh dan patah tulang rusuknya.
“Saya pernah mengalami perkara sama (patah tulang rusuk). Jadi saya tahu bertapa sakitnya. Saya tidak boleh bernafas dengan betul ketika itu.
“Tetapi T.O.P tetap teruskan sahaja. Ketika itu saya sedar yang komitmen dia memang berada di tahap yang lain,” katanya menerusi satu temu bual baru-baru ini.
Foto: Netflix
Tambah Im Siwan lagi, mengulas lanjut mengenai reaksi negatif penonton terhadap lakonan T.O.P, dia memberi respon bahawa watak Thanos adalah sangat sukar untuk dibawakan.
“Lakonan adalah subjektif, jadi mesti ada pendapat yang berbeza. Kalau saya kena bawa watak itu, saya tidak boleh lakukannya sebagus T.O.P,” ujarnya.
Sekadar info, Choi Seung-hyun atau lebih dikenali sebagai nama pentasnya, T.O.P, 37, merupakan penyanyi, pelakon dan penerbit rakaman Korea Selatan.
Beliau merupakan salah seorang ahli kumpulan muzik boyband Korea Selatan Big Bang dan juga terlibat alam pelbagai drama dan filem, seperti I Am Sam (2007), Iris (2009), 19 Nineteen (2009), 71: Into the Fire (2010), Commitment (2013) dan Tazza: The Hidden Card (2014).
Dia juga secara terbuka pernah memberitahu tidak akan kembali berlakon selepas dua tahun menjalani hukuman.
Sikap T.O.P sebelum ini dianggap sebagai mementingkan diri sendiri selain telah menghancurkan kepercayaan peminat terhadap BIGBANG.