Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mendedahkan beliau dihubungi polis Bukit Aman berhubung dakwaan Ahli Parlimen (MP) Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad terhadap MP Bagan, Lim Guan Eng.
Menerusi satu perkongsian di Facebook Isham, beliau berkata Siti Mastura telah menggunakan buku kecil kempen pilihan raya Barisan Nasional (BN) sebagai bahan rujukannya ketika mengeluarkan kenyataan mengenai Guan Eng.
Isham Jalil Dihubungi Polis
https://www.facebook.com/isham.abdjalil/videos/717142123325409
“Nampaknya Mastura kata dia dapat maklumat itu daripada satu risalah, bahan kempen BN,” katanya.
Isham berkata, beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai namun risalah tersebut telah dikeluarkan sebelum PRU bermula.
“Dulu pasukan penerangan UMNO dan pasukan komunikasi BN berlainan dan saya tidak bertugas dalam pasukan komunikasi.
“Benda ini (pengeluaran risalah) berlaku mungkin sebelum PRU dan pada masa itu saya belum menjadi ketua penerangan UMNO,” katanya.
Selain itu, Isham juga berkata tidak mungkin BN mengeluarkan risalah seperti itu namun membiarkan perkara tersebut disiasat oleh pihak polis.
Artikel berkaitan: Dakwaan Fitnah Terhadap Guan Eng, Siti Mastura Selesai Beri Keterangan
“Tetapi saya tak rasa BN keluarkan risalah macam ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Isham menasihati Siti Mastura untuk memberikan kerjasama penuh dalam siasatan polis dan janganlah menuduh sesuka hati.
“Kepada YB Mastura, awak mungkin tersilap cakap, saya tak tahulah. Tapi jangan takut, bagi kerjasama dengan polis dan biar pihak polis siasat.
“Bagi tahu dari mana dapat maklumat tu, tapi kita janganlah tuduh-tuduh saya atau orang lain.
“Nasihat saya, sebelum membuat apa-apa kenyataan tu periksalah dulu,” jelasnya.
Terdahulu, Siti Mastura mendakwa Guan Eng dan Lim Kit Siang mempunyai hubungan persaudaraan dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Pertama Singapura, Lee Kuan Yew.
Siti Mastura berkata demikian dalam satu program PAS di Kemaman pada 4 November lalu dan video ucapannya yang tular baru-baru ini.
MP Kepala Batas itu gagal mengemukakan bukti menyokong dakwaannya, oleh itu Guan Eng mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Sumber: Facebook Isham Jalil