Sebanyak 50 pelabur tampil menuntut keadilan selepas mendakwa kerugian hampir RM15 juta dalam satu skim pelaburan yang dikendalikan oleh Alpha Capital (M) Berhad.
Firma guaman fail petisyen penggulungan terhadap Alpha Capital
Ekoran kegagalan syarikat memulangkan semula wang pelaburan seperti dijanjikan, firma guaman Tetuan Hisyam Yunus & Co telah memfailkan Petisyen Penggulungan Syarikat (Winding Up) terhadap Alpha Capital di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Langkah undang-undang itu dibuat bagi membuka jalan kepada proses likuidasi, semakan transaksi dan audit ke atas syarikat, serta memberi ruang kepada pelabur untuk mendapatkan semula dana mereka.
Menurut Peguamcara Pempetisyen, Muhammad Hisyam Md Yunus, syarikat terbabit bukan sahaja gagal menunaikan janji pulangan pelaburan, malah turut melanggar Perintah Injunksi Mareva yang dikeluarkan Mahkamah pada September 2024.
“Alpha Capital bukan sahaja gagal menunaikan janji pulangan pelaburan, malah turut melanggar injunksi Mareva yang diperintahkan Mahkamah.
Kami percaya penggulungan ini adalah langkah paling wajar untuk membela nasib pelabur dan membolehkan dana dikembalikan melalui proses undang-undang,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.
Pengarah Alpha Capital dikenakan hukuman penjara dan denda
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 20 hari dan denda RM10,000 setiap seorang terhadap dua pengarah syarikat iaitu Syed Mahadzir Fadaak Syed Jamil Fadaak dan isterinya, bekas penyanyi Erna Elliyana Rosli, selepas mereka didapati bersalah menghina mahkamah kerana gagal mematuhi dua perintah Mareva bertarikh 5 September dan 22 November 2024.
Bagaimanapun, Pesuruhjaya Kehakiman Yusrin Faidz Yusoff membenarkan pelaksanaan hukuman penjara ditangguhkan selama dua bulan bermula Jumaat lalu untuk memberi ruang kepada pasangan itu mematuhi arahan mahkamah. Sekiranya gagal, hukuman penjara akan dikuatkuasakan.
Artikel lanjut: Tuntut Lebih RM36 Juta, Bekas CEO Saman Yayasan Dan Bank Rakyat
Selain itu, kegagalan menjelaskan denda turut membawa risiko penambahan tujuh hari hukuman penjara bagi setiap seorang.
Pulangan dijanjikan 5% sebulan, tapi bayaran terhenti
Alpha Capital sebelum ini didakwa menjanjikan pulangan pelaburan sehingga 5% sebulan, namun bayaran hanya bertahan beberapa bulan sebelum dihentikan. Pelabur juga mendakwa menerima pelbagai alasan daripada syarikat tanpa sebarang penjelasan rasmi atau laporan kewangan yang telus.
Setakat ini, Tetuan Hisyam Yunus & Co mewakili 64 pelabur yang telah memfailkan saman sivil berjumlah RM19.8 juta terhadap syarikat berkenaan.
“Perintah winding up ini bukan sekadar penutupan syarikat, tetapi peluang untuk meneliti semula semua transaksi serta mengenal pasti sama ada terdapat unsur penipuan atau penyelewengan,” ujar Hisyam.
Kes jadi precedent penting dalam perlindungan pelabur
Petisyen winding up dijangka didengar dan diputuskan pada 4 November 2025 dan menurut firma guaman itu, kes ini berpotensi menjadi precedent penting dalam undang-undang korporat dan pelaburan negara.
“Tindakan ini bukan hanya untuk mendapatkan kembali wang pelabur, tetapi untuk menegakkan akauntabiliti dan ketelusan dalam dunia pelaburan,” tegas Hisyam.
Antara pelabur yang tampil, seorang mendakwa kerugian mencecah RM1 juta, manakala seorang lagi kehilangan keseluruhan wang simpanan sebanyak RM600,000, memperlihatkan betapa serius dan meluasnya impak kes ini kepada individu yang terlibat.
