Seorang tukang masak dihukum denda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret di Balik Pulau selepas mengaku bersalah mengajak seorang wanita melakukan hubungan seks sehingga mencemar maruah mangsa.
Tukang masak positif bahan terlarang
Menurut laporan Berita Harian, tertuduh, Muhammad Amirulhakim Suhaimi, 30, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Chia Huey Ting sebaik pertuduhan dibacakan.
“Mahkamah mensabitkan kamu bersalah dan menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, Amirulhakim didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan dengan maksud mengaibkan kehormatan wanita terbabit.
Artikel lain: Wanita Cederakan Teman Lelaki Ketika Hubungan Intim Ada Rekod Jenayah Lampau
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chew Thiam Hui merayu hukuman denda sahaja kerana anak guamnya bekerja dengan gaji RM1,500 sebulan, masih bujang dan menanggung bapa serta adik.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya R. Lushani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira trauma yang dialami mangsa serta kepentingan awam.
Kes itu tercetus selepas rakaman video insiden terbabit tular di media sosial, sebelum polis menahan tertuduh di sebuah restoran nasi kandar di Bayan Lepas, Ahad lalu, susulan laporan majikan mangsa.
Selain itu, di mahkamah sama, Amirulhakim turut dijatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara tiga bulan kerana menggunakan dadah jenis morfin di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pada 29 Ogos lalu.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga RM5,000 dan pengawasan polis dua tahun. Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong.
Sumber: Berita Harian (Audrey Dermawan)
