Satu lagi insiden membabitkan sebuah treler yang bergesel dengan kenderaan berlaku di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, Alor Gajah, Melaka, semalam, sekali lagi menarik perhatian ramai berikutan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.
Treler sagat kereta di tempat yang sama
Rakaman video berdurasi 33 saat yang tular di TikTok @wakbobot menunjukkan sebuah treler cuba memasuki laluan ke kawasan R&R tersebut, namun terhimpit dengan sebuah kereta jenis utiliti sukan (SUV) yang diparkir di bahu jalan selekoh.
Kejadian itu dipercayai berulang di lokasi sama selepas insiden kelmarin yang turut menyebabkan kesesakan lalu lintas serta kerosakan pada beberapa kenderaan yang diparkir di kawasan berkenaan.
Video itu juga dimuat naik dengan kapsyen,
“Hari ini, 29 Disember, Ayer Keroh parking lagi. Rasanya kereta ini jadi macam cerita semalam, tempat yang sama, cuma hari yang berbeza, rangup macam ayam goreng.” tulisnya.
Artikel lain: Polis Jalankan Siasatan Susulan Treler Disyaki Seret Beberapa Kenderaan Di R&R Ayer Keroh
Terdahulu media malaporkan, satu insiden yang juga melibatkan treler telah melanggar tiga kenderaan di lokasi sama. Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didakwa menyebabkan kerosakan harta benda dan mengganggu kelancaran lalu lintas di kawasan R&R tersebut.
Kejadian berulang di lokasi sama menimbulkan kebimbangan pengguna jalan raya mengenai keselamatan di kawasan Rehat dan Rawat, lebih-lebih lagi ketika musim cuti yang menyaksikan peningkatan bilangan kenderaan.
Pihak berkuasa diingatkan untuk menilai semula prosedur keselamatan dan laluan masuk bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang.
Sumber: TikTok @wakbobot







































