Dua malim gunung digantung tugas sementara bagi membantu siasatan berhubung kematian tragis seorang pendaki, Mustaqqeem Mansor, 34, yang ditemukan tidak bernyawa di puncak Gunung Liang, Perak, pada Khamis lalu.
Malim gunung digantung berkenaan tragedi Gunung Liang
Menurut laporan Sinar Harian, Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Mohd Yussainy Md Yusop berkata, tindakan penggantungan itu dibuat bagi memastikan kedua-dua individu tersebut dapat memberi kerjasama penuh kepada semua agensi penyiasat yang terlibat termasuk polis, bomba dan jabatan hutan.

Foto: Sinar Harian
“Langkah ini penting bagi membolehkan siasatan dijalankan secara telus dan adil tanpa sebarang gangguan atau prejudis terhadap mana-mana pihak,” katanya.
Artikel lain: “Pasaipa Hangpa Tinggal Dia?”- Ibu Reda Pemergian, Terkilan Anak Ditinggalkan Rakan Di Gunung Liang
Menurut beliau, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pelbagai agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Semua pihak terlibat termasuk penganjur, pendaki lain dan malim gunung akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Mohd Yussainy yang juga Pengerusi Malim Gunung Perhutanan Malaysia turut menekankan bahawa siasatan ini bukan bertujuan untuk menghukum individu semata-mata, sebaliknya untuk melihat kelemahan sistem dan prosedur sedia ada.
“Kita akan menilai semula aspek pengurusan risiko, kepatuhan kepada prosedur dan penggunaan teknologi seperti alat pengesanan lokasi, terutamanya di laluan pendakian berisiko tinggi,” ujarnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa secara purata, lebih 200 kes kecemasan berkaitan aktiviti pendakian dilaporkan setiap tahun di seluruh negara, dengan sekitar 10 hingga 11 kematian. Namun, hanya satu atau dua kes melibatkan malim gunung aktif.
Katanya, kebanyakan insiden berlaku akibat pendakian tanpa permit sah, kekurangan persediaan fizikal dan trend baharu seperti mendaki atau berlari pada waktu malam.

Foto: Sinar Harian
Dalam kes ini, Mustaqqeem disahkan meninggal dunia akibat hipotermia selepas dipercayai terpisah dari kumpulan. Mayat beliau ditemui di puncak Gunung Liang sekitar jam 3.30 petang Khamis dan dibawa turun menggunakan helikopter bomba pada keesokan harinya.
Jabatan Perhutanan dijangka akan membentangkan laporan lengkap kepada Ketua Pengarah Perhutanan Malaysia sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.
Sumber: Sinar Harian (Izwan Rozlin)
