Ibu kepada bayi berusia tujuh bulan yang maut dalam kemalangan melibatkan motosikal dan kereta di simpang Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Khamis sempat menyusukan anaknya sebelum kejadian berlaku.

Foto: Media sosial
Menurut laporan Buletin TV3, Afifah Abd Sukor, 30, mengakui dia tidak menyangka itu adalah detik terakhir dia dapat menatap wajah anak lelakinya Khabib Asad sebelum pergi meninggalkannya buat selamanya.
“Saya mula kerja pukul 8, pukul 7 dia bangun sempat menyusu badan lepas tu saya sempat bawa dia dekat laptop untuk mula kerja.
“Selepas itu, ibu ambil sebab takut ganggu kerja. Itulah kali terakhir saya melihat dia,” katanya ketika ditemui Buletin TV3 di hospital, semalam.
Suaminya, Safwan Syarifuddin Sulaiman, 30, berkata pagi sebelum kejadian itu juga merupakan detik terakhir dia berpeluang menatap wajah anak sulung mereka.
“Pagi tadi bila saya bangun tidur, dia sempat senyum dan bermain. Lepas itu ibu (mentua) saya bawa dia keluar, itu adalah kali terakhir saya nampak dia,” ujarnya.

Foto: Buletin TV3
Pasangan itu turut berkongsi bahawa mereka sudah mula membuat persiapan Aidilfitri, termasuk membeli dua pasang baju raya untuk anak mereka.
“Saya beli baju raya dua pasang untuk anak saya. Memang berharap dapat beraya bersama sebab ayah dia (suami) pun baru balik dari London, jadi kita memang berharap dapat beraya bersama-sama pertama kali.
“Tapi kita tak jangka dia pergi dahulu daripada kita sekarang,” kata Afifah.

Foto: Media sosial
Bercerita mengenai insiden itu, Afifah berkata, dia menerima panggilan daripada ibunya Siti Zaleha Rashid, 60, yang memberitahu tentang kemalangan itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Saya dapat panggilan dari telefon mak saya, tapi orang lain yang bercakap dan beritahu mak saya kemalangan. Saya terus ke tempat kejadian.
“Setibanya di kawasan berdekatan Taska, keadaan sudah sesak dengan orang ramai tengok kereta remuk, ada seorang terbaring. Ketika itu, anak dan ayah telah dibawa ke klinik berhampiran oleh orang awam,” kongsinya.
Mereka dalam perjalanan hantar Khabib ke taska – Adik Afifah

Foto: FB Akbar Oblong
Terdahulu, media melaporkan tiga individu termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di simpang Jalan Bunga Kertas, Bukit Sentosa.
Selain bayi tersebut, dua lagi maut ialah nenek kepada Afifah iaitu Halimah Mohd Ibrahim, 88, dan penunggang motosikal yang berusia 25 tahun.
Difahamkan sebelum kejadian, Halimah sedang memangku cucunya.
Siti Zaleha sudah dibenarkan keluar hospital manakala suaminya Abd Shukor Yusof, 60, yang memandu kenderaan tersebut masih dirawat di Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Sungai Buloh.
Sumber: Buletin TV3 (Asyiha Ariffin)







































