Connect with us

Hi, what are you looking for?

Kolumnis

Tawaran Kursus Kemahiran Percuma Anak Tentera: Gamechanger Baharu Ekosistem Kesejahteraan ATM

Baru-baru ini Yang Berhormat Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin telah melancarkan secara bersekali 5  program pemerkasaan pendidikan dan kemahiran untuk anak-anak dan warga ATM.

Ini termasuklah Program E-Perkasa SPM 2025 melibatkan 652 calon SPM dari kalangan anak tentera, Program Simpanan Pendidikan MADANI dengan kerjasama Yayasan LTAT dan PTPTN bagi memupuk budaya menabung dalam kalangan warga ATM melibatkan 3775 pelajar tahun 1 dan program pengukuhan minat STEM melibatkan kerjasama antara TalentCorp dan Universiti Sains Malaysia.

Namun, yang sangat menarik perhatian antara semua itu adalah pengenalan inovasi baharu dalam ekosistem kesejahteraan warga ATM iaitu program kemahiran percuma kepada anak-anak anggota tentera.

Program ini disifatkan inovatif dan dilihat berpotensi membawa dimensi baharu kerana ia memfokuskan kepada mereka yang berada di luar sistem pendidikan. Dengan matlamat merapatkan jurang pendidikan dan kebolehpasaran program di bawah kerjasama Yayasan LTAT, Kolej Komuniti dan entiti strategik seperti Pharmaniaga ini menyasarkan warga ATM,  ahli BAKAT dan golongan muda dari kalangan anak-anak warga pertahanan di dalam kem-kem tentera seluruh negara.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Berdasarkan struktur program tersebut, pelbagai kursus jangka pendek akan ditawarkan kepada anak-anak tentera yang layak dan berminat oleh Kolej Komuniti yang berada di sekitar atau berdekatan dengan kem-kem tentera di seluruh negara.

Program-program yang ditawarkan akan dipastikan bersesuaian dengan minat dan potensi peserta. Ini termasuklah kursus pendek masakan, solekan, kraf tangan, pemasaran digital, grafik dan AI. Malah anak-anak anggota ATM yang mengikuti pengajian TVET di Institusi MARA turut menerima tajaan yuran sehingga RM3,000 seorang.

Jika dilihat dari segi aspirasi pelaksanaanya, fokus program ini adalah bagi memastikan segala minat, bakat dan kemahiran sedia ada warga kem-kem tentera dapat digilap dan ditambah baik.

Bukan sahaja kursus-kursus pendek ini akan dilaksanakan oleh kolej komuniti berdekatan – yang secara tidak langsung tidak memerlukan para peserta meninggalkan keluarga dan mengeluarkan kos penginapan atau pengangkutan yang besar – tetapi keseluruhan kos serta yuran penyertaan di dalam kursus tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Kementerian melalui sumbangan entiti-entiti yang terlibat.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Peluang Meningkatkan Potensi Diri

Langkah ini bukan sahaja mencerminkan kejelasan dasar MINDEF yang kini semakin serius memberi tumpuan kepada kesejahteraan menyeluruh warga tentera. Lebih penting, pengenalan program yang memfokuskan kepada pemerkasaan kemahiran diri seperti ini akan menyebabkan tiada kelompok dalam warga pertahanan yang tercicir dan terbiar daripada turut menerima manfaat pendidikan dan pembangunan.

Ia menggambarkan bahawa mereka yang tidak berada dalam sistem pendidikan atau mengikuti pengajian tinggi di IPT sentiasa mempunyai peluang yang terbuka untuk terus membangunkan potensi diri.

Ia menjadi satu sentuhan baharu yang akan meningkatkan tahap daya saing para peserta dalam pasaran pekerjaan yang mereka pilih. Malah, peluang untuk menyertai kursus kemahiran seperti ini merupakan satu contoh jelas kepada usaha menyuburkan budaya pengajian sepanjang hayat. Dan sudah pastilah perkara tersebut akan muncul sebagai satu lagi tarikan atau keistimewaan menjadi warga ATM.

Dalam kerangka yang lebih besar, keistimewaan program ini sebenarnya terletak pada reka bentuknya yang inklusif dan responsif terhadap keperluan sebenar komuniti kem. Ia tidak bersifat bermusim atau menjadi sentuhan kebajikan yang bersifat pemberian barangan atau saguhati. Ia mengangkat nilai dan fokus inisiatif kebajikan yang menjangkaui bentuk bantuan bersifat segera.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Ini kerana, pemberian peluang untuk mendapat kemahiran yang boleh meningkatkan potensi diri dan daya saing dalam alam pekerjaan merupakan satu intervensi yang kritikal dan mempunyai kesan jangka panjang. Ia mengubah mentaliti dan sikap diri para peserta. Malah, ia menjadi satu suntikan semangat untuk mereka sentiasa meneroka ruang dan peluang untuk membina kerjaya dan mendapatkan pekerjaan yang baik dan berkualiti.

Dalam lapangan akademik, pendekatan ini selari dengan gagasan capability approach oleh Amartya Sen, seorang ahli ekonomi dan penerima Hadiah Nobel dari India. Beliau menekankan aspek ‘keupayaan sebenar’ sebagai asas utama keadilan sosial. Menurutnya, pembangunan yang bermakna tidak diukur melalui input atau hasil material semata-mata.

Sebaliknya, perkara tersebut mesti mengambil kira sejauh mana individu memiliki kebebasan dan keupayaan untuk memilih dan membangunkan kehidupan yang baik. Dalam kerangka ini, apabila anak-anak tentera diberikan akses kepada pendidikan teknikal yang sesuai dengan minat dan realiti setempat, mereka tidak hanya memperoleh kemahiran. Tetapi, mereka sebenarnya turut diberi ruang untuk membentuk pilihan hidup yang lebih luas dan bermakna.

Kekuatan program ini juga terletak pada cara ia memposisikan pendidikan dan program kemahiran sebagai instrumen strategik yang memperkukuh daya tahan sosial dan kebangsaan. Dalam ekosistem kem yang memiliki budaya serta kedinamikan komuniti yang unik, program ini berfungsi sebagai jambatan yang berupaya menyatukan aspirasi pendidikan dengan realiti kehidupan warga pertahanan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Ia memperkukuh naratif bahawa pembangunan insan tidak terbatas kepada pencapaian akademik di dalam bilik kuliah. Tetapi, ia menonjolkan kematangan kita dalam memahami kepentingan untuk turut mengambil kira latar sosial, minat, dan keperluan sebenar masyarakat kem dalam setiap agenda kebajikan yang diusahakan.

Dalam erti kata lain, pendekatan memberi kursus kemahiran jangka pendek yang terancang dan berpandangan jauh seperti ini, membolehkan setiap warga dalam ekosistem MINDEF menerima sokongan yang diperlukan oleh mereka untuk meningkatkan potensi diri demi membina masa depan yang lebih lestari.

Banyak laporan di luar sana yang menunjukkan bahawa kursus-kursus kemahiran jangka pendek yang ditawarkan khususnya oleh kolej komuniti membawa impak besar kepada kehidupan peserta. Ada yang berjaya membuka pusat kesihatan sendiri selepas mengikuti latihan dalam urutan tradisional dan penjagaan selepas bersalin.

Tidak kurang yang memanfaatkan ilmu pembuatan sabun untuk menjana pendapatan melalui jualan dalam talian. Malah, terdapat segelintir peserta mula membina perniagaan penyajian makanan selepas menjalani latihan masakan. Pendapatan tambahan yang direkodkan dalam kalangan peserta kursus pendek kolej komuniti dianggarkan mencecah antara RM1,000 hingga RM5,000 sebulan.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Apa yang lebih penting, dasar ini mengangkat martabat program kemahiran sebagai instrumen strategik untuk memastikan setiap warga dalam ekosistem MINDEF menerima perhatian dan sokongan yang sewajarnya. Ia bukan sahaja melengkapkan penekanan MINDEF kepada aspek persekolahan dan pengajian di IPT tetapi memberi pemberat yang setimpal dan adil kepada keupayaan dan potensi program kemahiran.

Sebagai penyelidik yang sangat mementingkan keterangkuman dalam pendekatan pendidikan, penulis melihat aspirasi serta keterbukaan YB Dato Seri Mohamed Khaled yang meyakini kekuatan program kursus pendek oleh Kolej Komuniti seperti ini mempunyai kelebihan yang tersendiri.

Ia bukan sahaja menjadi pengiktirafan penting kepada kolej-kolej komuniti di seluruh negara. Tetapi yang jauh lebih penting, perhatian kepada kumpulan sasar yang tidak berada di IPT dan mereka yang berminat untuk membina kemahiran baharu serta meningkatkan potensi diri seperti ini menjadi satu ‘game changer’ yang terus melengkapkan cakupan ekosistem kesejahteraan warga ATM.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Ditulis oleh Nazirah Mahmud

Penulis, Calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sains pendidikan di Faculty of Humanities and Social Sciences, University of Szeged, Hungary.

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Hubungan antara adik-beradik tidak akan pernah terputus biarpun sering diuji dengan pelbagai masalah kerana dilahirkan daripada rahim yang sama. Sedih orang terakhir dipeluk Baru-baru...

Lokal

Seorang doktor lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah stor penyimpanan gas di Jalan Kampung Undang, di Kuala Terengganu, pada Selasa. Mangsa...

Sosial

Baru-baru ini, tular sebuah kisah menyentuh hati melibatkan seorang suami, Khairul Azhar Jainal Abidin, 27, yang terpaksa reda akan pemergian arwah isterinya, Ain Farhana...

Lokal

PAS menyatakan kesediaan untuk menyediakan bantuan guaman kepada penjawat awam sekiranya mereka dikenakan tindakan kerana menyertai Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung pada Sabtu...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd