Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang baru-baru ini, pernah dikenakan waran tangkap berhubung siastan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Menurut laporan Harian Metro, SPRM menyatakan wanita berusia 42 tahun itu dan suaminya sedang disiasat sejak Mei tahun lalu di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Foto: freemalaysiatoday
“Pada 28 Mei 2024, wanita itu dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dijalankan, namun ingkar dan gagal memberikan kerjasama.
“Berikutan itu pada 2 Disember lalu, SPRM memperoleh waran tangkap terhadap Pamela daripada Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan.
“Lanjutan daripada itu, pada 8 Januari lalu satu tindakan operasi bersama pihak Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura dilancarkan dan Pamela ditahan secara sah serta dibawa pulang ke Malaysia,” katanya.
Dia kemudiannya direman selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Januari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin SPRM dan pada 9 April pula, SPRM sekali lagi memanggil Pamela ke ibu pejabat mereka bagi memberi keterangan susulan maklumat baharu.
SPRM turut mendapat perintah mahkamah untuk menahan dokumen perjalanan milik Pamela seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 44(1), Akta SPRM 2009.
Namun, Pamela gagal hadir dan peguamnya kemudian membuat laporan polis berkenaan kehilangan anak guamnya.
SPRM menegaskan bahawa semua tindakan mereka dilaksanakan mengikut lunas undang-undang, termasuk mendapatkan perintah mahkamah yang relevan serta mematuhi prosedur yang ditetapkan.
SPRM juga menolak dakwaan berlaku sebarang salah laku atau gangguan dalam kes berkenaan.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela sebelum kehilangannya tidak menggugurkan siasatan sedia ada.

Foto: The Star
“Cabaran undang-undang adalah hak individu, namun ia tidak menjejaskan proses penguatkuasaan yang sedang dijalankan,” jelas SPRM.
Sehingga kini, siasatan mengenai kehilangan Pamela diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan SPRM memberi kerjasama penuh dalam usaha menjejakinya.
SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Pada saat ini, keutamaan adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa supaya usaha mengesan dan membawa pulang Pamela dapat dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin.
Sumber: Harian Metro (Raja Noraina Raja Rahim)
