Buat julung kali dalam tempoh 16 tahun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memohon maaf secara terbuka kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock atas insiden tragis yang berlaku di premis SPRM pada 2009.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan berkata, permohonan maaf itu dizahirkan atas dasar keprihatinan dan simpati terhadap penderitaan yang ditanggung waris mendiang selama ini.
“Ia merupakan satu insiden hitam yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara.
“Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
SPRM Mohon Maaf
Selain permohonan maaf, SPRM turut menyatakan kesediaan untuk menyalurkan sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang, khususnya untuk kebajikan dan keperluan pendidikan anak tunggal Teoh.
“Sebagai tanda keprihatinan, SPRM bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang,” katanya lagi.
Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada exco kerajaan negeri Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui meninggal dunia pada 16 Julai 2009 selepas sesi soal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.
Insiden tersebut mencetuskan kontroversi besar apabila siasatan awal mendakwa mendiang membunuh diri, namun Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematian mendiang berpunca atau dipercepatkan oleh tindakan menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM sendiri.
Azam berkata, SPRM mengiktiraf segala keputusan dan dapatan daripada pelbagai siasatan yang telah dijalankan selama ini, termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011, keputusan Mahkamah Rayuan 2014, serta siasatan terbaharu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Walaupun siasatan terkini tidak menemui bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM tetap memandang serius bahawa mendiang Teoh Beng Hock ditemui meninggal dunia di premis SPRM Selangor,”ujar beliau.
Pada Mei lalu, Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan semula kes tersebut sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) selepas siasatan PDRM.
Azam turut menggariskan beberapa langkah pembaikan institusi yang telah dilakukan SPRM sejak insiden itu, termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih canggih, penggunaan kamera badan oleh pegawai penyiasat, bilik rakaman khas untuk pengambilan kenyataan serta penempatan bilik temu bual di aras bawah.
“SPRM kekal komited untuk menegakkan integriti dan ketelusan dalam setiap aspek tugasan serta memperkukuh usaha penambahbaikan institusi secara berterusan,”menurut kenyataan itu.
Artikel lain: Kartel Susu Tepung: SPRM Ambil Keterangan 10 Individu
Terdahulu, kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga mendiang, serta tambahan RM60,000 bagi kos guaman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga pernah memberi jaminan bahawa kes tersebut akan disiasat secara menyeluruh demi keadilan kepada keluarga mendiang.
Sumber: FB SPRM
