Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan tayar yang dipercayai menyebabkan kerajaan kerugian cukai ratusan juta ringgit menerusi operasi khas dikenali sebagai Ops Grip.
SPRM tumpaskan sindiket penyeludupan tayar
Menurut laporan Berita Harian, hasil operasi itu, SPRM bertindak membekukan dan menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM83 juta, termasuk akaun bank, hartanah serta gudang yang digunakan untuk aktiviti penyimpanan tayar seludup.
Menurut Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Antara aset yang dibekukan ialah akaun-akaun syarikat dan individu bernilai hampir RM70 juta, manakala harta disita termasuk enam lot tanah dijadikan tapak gudang bernilai RM4.5 juta, dua rumah teres dua tingkat bernilai RM2 juta, sebuah rumah kedai empat tingkat bernilai RM4 juta, dan sebuah rumah jenis townhouse bernilai RM2 juta.
Artikel lain: SPRM Bongkar Sindiket Diesel RM247 Juta, Lapan Individu Termasuk Dua ‘Datuk’ Ditahan
Selain itu, SPRM turut menyita enam gudang serta beberapa kontena yang menyimpan lebih 17,000 tayar pelbagai jenama.
Pemeriksaan ke atas tayar terbabit dilakukan oleh pasukan teknikal daripada pengeluar utama seperti Michelin, Bridgestone, Yokohama, Pirelli, Continental, Dunlop, Toyo Tires, dan Maxxis dengan kerjasama KPDN, SIRIM Berhad serta SPRM sendiri.

Foto: Harian Metro
Sumber berkata, hasil pemeriksaan mendapati wujud pelbagai pelanggaran undang-undang termasuk penipuan label, pemalsuan barcode, penjualan tanpa pengedar sah, serta penyeludupan tayar tanpa permit import yang sah.
Kesalahan itu bukan sahaja menjejaskan hasil negara, tetapi turut menimbulkan risiko keselamatan serius kepada pengguna jalan raya.
“Pemeriksaan ini penting untuk memastikan ketulenan tayar dalam pasaran, memeriksa pematuhan piawaian keselamatan seperti DOT, TOT, E-Mark, CCC dan SIRIM serta mengesan penjualan tayar melalui saluran tidak berdaftar,” katanya.
Pada 29 September lalu, pasukan SPRM menyerbu 23 lokasi di seluruh negara, termasuk di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor, membabitkan syarikat pengimport tayar dan gudang penyimpanan.
Serbuan itu dijalankan selepas pendedahan eksklusif mengenai isu tayar terbang yang dikaitkan dengan penggunaan tayar seludup berkualiti rendah.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Sementara itu, Penasihat Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri, menegaskan bahawa isu penggunaan tayar tidak sah perlu dipandang serius kerana menjadi antara punca utama kemalangan, khususnya melibatkan kenderaan berat.
Katanya, kejadian tayar terbang di jalan raya ibarat bom jangka yang boleh mengancam nyawa penggna bila-bila masa, selain menzahirkan keperluan penguatkuasaan lebih tegas bagi mengekang aktiviti penyeludupan tayar di negara ini.
Sumber: Berita Harian (Ilah Hafiz Aziz)
