Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mendedahkan terdapat minat daripada pihak swasta untuk membeli lumpur yang menenggelamkan beberapa kawasan di Pulau Sumatera, khususnya di wilayah Aceh, susulan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.
Dakwa pihak swasta berminat beli sisa lumpur
Menerusi laporan daripada CNBC Indonesia, Prabowo menyatakan perkara itu dimaklumkan kepadanya berdasarkan laporan ketua-ketua daerah terjejas dan beliau melihat tiada masalah sekiranya sisa lumpur berkenaan dijual kepada pihak yang berminat.
“Gabenor wilayah melaporkan kepada saya ada pihak swasta yang tertarik (untuk membeli lumpur), tidak hanya di sungai, tapi yang di sawah dan sebagainya.
Silakan, perkara ini saya kira bagus sekali. Justeru, tolong ini didalami dan kita laksanakan,” kata Prabowo ketika berada di Aceh Tamiang semalam.
Lumpur boleh dijual ke pihak swasta
Beliau berkata, pemanfaatan lumpur tersebut bukan sahaja mampu mempercepatkan proses pemulihan sungai, malah berpotensi memberi manfaat langsung kepada kerajaan daerah.
“Nanti juga bermanfaat jika lumpurnya boleh dijual dan jika ada pihak swasta mau membeli, manfaatnya boleh dinikmati oleh daerah-daerah,” katanya.
Artikel lain: Bendera Putih Berkibar Di Aceh, Menteri Dalam Negeri Indonesia Tampil Mohon Maaf
Prabowo mengulas perkara itu ketika menyokong cadangan membersihkan sungai secara menyeluruh selepas bencana banjir dahsyat yang melanda kawasan berkenaan, melibatkan kerja pembersihan dari muara hingga ke laut.
Sumber: CNBC Indonesia









































