Pihak sekolah menafikan dakwaan mengabaikan seorang murid Pendidikan Khas yang dilihat bergerak ke kantin dalam keadaan berlutut, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Yang Dipertua (YDP) sekolah berkenaan, Jeehan Adam, kejadian itu berlaku apabila murid terbabit keluar dari kelas atas inisiatif sendiri kerana teruja melihat kehadiran ibunya di sekolah.
“Murid berkenaan bukan ditinggalkan atau diabaikan. Dia keluar secara spontan untuk menunjukkan kepada ibunya kawasan sekolah termasuk kantin dan rakan-rakan,” jelas Jeehan.
Beliau menambah bahawa penggunaan reverse walker tidak diamalkan di dalam kelas, memandangkan susun atur bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) direka bagi memudahkan pergerakan murid tanpa alat bantuan tersebut.
Pihak Sekolah Nafi Abaikan Murid OKU
Tegasnya, murid berkenaan masih baharu bersekolah dan sedang melalui proses penyesuaian, sekaligus menjelaskan situasi yang dirakam dalam video tular itu menimbulkan salah faham.
Artikel lain: ‘PASTI Terbuka Terima Anak Bukan Islam, Low Zi Kang Cepat Sesuaikan Diri’ – Guru
Jelas beliau, guru-guru PPKI sentiasa memantau dan menjaga murid di bawah tanggungjawab mereka, dan dakwaan pengabaian dianggap tidak adil.
Selain itu, Jeehan meluahkan kekesalan apabila video pendek itu menyebabkan guru-guru terpaksa memberikan penjelasan kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Bukan itu sahaja, bahkan pihak sekolah terpaksa berdepan dengan kecaman serta komen kasar daripada warganet.
Pihak sekolah berharap orang ramai memahami konteks sebenar sebelum membuat sebarang andaian atau kecaman terbuka.
Sumber: TiktTok jeehan.adams










































