Connect with us

Hi, what are you looking for?

Bisnes

Pernah Hidup Daif, Usahawan Hana Shahadan Bangkit Ubah Nasib Sehingga Cipta Jenama MommyHana

Pelbagai liku kehidupan dilalui usahawan, Hana Shahadan sejak dari kecil sebelum bergelar pengasas dan pengarah kepada jenama produk kanak-kanak popular, MommyHana sekali gus membentuknya menjadi insan lebih kuat pada masa kini.

Hana Shahadan bangkit ubah nasib

Tanap merasai sebarang bentuk kemewahan sewaktu kecil, anak bongsu daripada enam adik-beradik itu membesar dalam keluarga serba daif di sebuah perkampungan yang terletak di Kuang, Selangor.

Hana Shahadan

Berkongsi kehidupan awalnya melalui sesi podcast Apa Cerita? kendalian Asyraf Khalid dan Ishraq Kamarudin, sosok wanita cekal ini menyingkap bagaimana usaha kerasnya mencari pendapatan sendiri seningga melanjutkan pengajian di peringkat universiti.

Hana Shahadan

Menurut Hana, ibunya tidak mampu membaca dan memandu, namun mampu meneruskan kerjaya perniagaan memberi inspirasi buatnya untuk terus berusaha demi mengubah nasib keluarga.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Daripada kecil memang saya rapat dengan emak sebab saya anak bongsu. Adik-beradik saya tiga lelaki dan tiga perempuan. Daripada kecil saya memang ikut apa yang emak buat ataupun apa yang diajar. Emak saya sudah meninggal, jadi bila impas kembali memori itu ia akan memberi makna.
“Emak saya tidak boleh membaca, bawa basikal, motosikal dan kereta. Saya juga dibesarkan dalam keluarga yang susah. Keluarga saya tiada kereta, jadi kalau di kampung akan berjalan kaki sahaja. Emak saya hanya suri rumah dan akan buat perniagaan.
“Emak ada katalog kosmetik dan dia akan berjalan keliling kampung untuk berniaga. Adakala berjalan ke 20 rumah untuk berniaga. Saya memang ingat sebab dulu kalau balik sahaja dari tadika, saya memang akan ikut emak dan pusing keliling kampung.
“Saya bukan yang lahir sahaja terus senang sebagaimana saya sekarang ini. Orang memang sudah kenal emak dan sampai sekarang orang kampung ingat. Emak juga adalah orang yang sangat disenangi. Banyak perkara dia tak boleh buat, jadi dia hanya boleh bercakap dan layan orang dengan baik,” katanya.

Hana Shahadan

Kongsinya lagi, dia akan ikut ibunya ke Chow Kit, Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu dengan menaiki bas untuk membeli barangan yang sudah dipesan pelanggan seawal jam 6 pagi.

Antara perkara yang masih terngiang-ngiang di ingatannya adalah ketika menjadi mangsa ejekan sekumpulan kanak-kanak nakal di kampung disebabkan pekerjaan dibuat, namun ibunya sentiasa memujuk dengan mengatakan apa dilakukan hanya untuk mencari rezeki halal.

Namun begitu, Hana sentiasa bersikap positif dengan menganggap perkara tersebut sebagai pembakar semangatnya bagi meneruskan kejayaan dalam kehidupan.

“Semangat datang daripada kesusahan dan pengorbanan emak. Saya ingat lagi semasa berusia enam tahun, selepas ambil pesanan barangan yang dibeli pelanggan, kami akan pergi ambil dan bawa barang itu untuk dihantar.
“Selepas balik tadika saya akan ikut emak untuk hantar barang itu ke rumah pelanggan. Ketika itu, saya ingat lagi budak tadika atau budak kampung akan tengok dan ejek saya setiap kali saya ikut emak.
“Sebab ketika itu saya tengah bawa periuk dan toto, jadi saya malu dan bila balik akan nangis. Emak kemudian pujuk dan cakap tak mengapa sebab kita cari rezeki. Saya masih terngiang-ngiang lagi perkara itu. Ia satu perkara yang tak mudah, tapi saya banyak belajar daripada itu.
“Disebabkan itu, sewaktu saya sekolah menengah dan di universiti saya perlu lakukan sesuatu dan mesti ada duit supaya tiada lagi orang yang mengejek saya lagi. Ia juga membakar semangat saya untuk berusaha lebih kuat,” ujarnya.

Meskipun hidup dalam serba kekurangan, Hana berkata, mereka tetap merasa bahagia dan banyak belajar daripada ibunya yang dianggap sebagai watak penting dalam hidupnya.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Dulu rumah saya separuh bahagian bawah adalah batu dan atas pula kayu. Rumah sangat kecil dan saya akan berkongsi dengan kakak. Rumah saya dulu memang tidak lengkap.
“Walaupun begitu, emak tidak pernah rasa yang kami sekeluarga ini susah dan makanan memang sentiasa cukup atas meja. Arwah emak akan jadi orang terakhir yang makan dan nasi itu hanya kerak sahaja sebab dia akan pastikan semua orang dapat makan.
“Dia akan ambil kerak dan cakap suka makannya. Saya juga antara penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT), jadi terima kasih kepada kerajaan Malaysia. Daripada situ saya dapat rasa makan ayam, nasi ayam dan burger.
“Bila masuk hari raya, saya memang tiada baju raya. Untuk dapat kasut raya bila adik-beradik lain dah besar dan tak guna kasut itu,” kongsinya.

Dalam pada itu, Hana mengakui institusi kekeluargaan yang saling menyokong antara satu sama lain sangat penting dalam membentuk seseorang menjadi individu berjaya dan mempunyai keyakinan diri tinggi.

Artikel lain: Kongsi Ilmu Industri Umrah & Haji, Andalusia Anjur Program Bangkit Usahawan Umrah

Hana Shahadan

“Institusi kekeluargaan pada saya memang sangat penting. Di mana saya berada sekarang adalah disebabkan dengan adanya sokongan daripada keluarga. Bagaimana kita dibesarkan dalam keluarga itulah yang membentuk kita hari ini.
“Sebagai contoh, semasa kecil saya lalui pelbagai perkara yang sukar. Jadi, ia satu proses yang boleh buatkan saya lagi kuat dan sudah jadi tidak kisah bila besar ini berdepan dengan perkara sukar.
“Saya sudah lalui semua. Walaupun susah, kami sekeluarga memang sangat rapat dan sentiasa menyokong antara satu sama lain, itu yang penting,” katanya.

Selepas berdepan pelbagai gelora dan kesusahan hidup, Hana membuktikan dirinya mampu bangkit dan menjadi antara individu disegani pada era kini.

Buktinya, Hana mewujudkan jenama MommyHana yang menumpukan kepada mempromosikan nilai Islam melalui pelbagai penyelesaian dengan memenuhi keperluan keluarga Muslim moden sehingga mampu memberi manfaat kepada ramai orang.

Advertisement. Scroll to continue reading.

Sementara itu, perkongsian Hana mengenai perjalanan hidupnya sebelum bergelar usahwawan menerima pelbagai reaksi positif netizen apabila rata-rata mengakui terinspirasi dengan kisahnya.

Hana Shahadan

Ada yang menyifatkan perkongsian itu mampu membuka mata ramai termasuk menyuntik semangat untuk terus berjuang mengubah nasib diri dan keluarga, malah memberi kesedaran bahawa setiap orang mampu berjaya dengan cara tersendiri.

“Saya perlu memberi penghormatan kepada MommyHana! Bisnes sambil beramal, secara tidak langsung berdakwah di permulaan pertumbuhan kanak-kanak. Sangat menginspirasikan,” kata seorang penonton.
“Perkongsian yang bagus daripada Pengasas MommyHana. Perkongsian kali ini sangat seronok, teruskan,” kata penonton lain.
“Cerita yang sangat menginspirasikan, terima kasih kerana mengetengahkan cerita sebegini untuk kita ambil inspirasi dan manfaat,” kata seorang lagi penonton.

Ditulis oleh Nor Hidayah

Continue Reading
Advertisement
Advertisement

Artikel Menarik Lain

Lokal

DSAT Group bakal mengambil tindakan undang-undang saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor. Menerusi satu hantaran di Facebook Pengerusi Eksekutif...

Nasional

Berhubung cadangan bagi menghentikan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi kursus universiti yang mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman kurang 30 peratus, pihak...

Lokal

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengiktiraf pencapaian cemerlang 70 pemain industri pembinaan di Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2024 yang berlangsung di...

Spotlight

Kumpulan K-Pop terkenal, 2NE1 telah berjaya terbang ke Manila, Filipina, pada Sabtu dan Ahad lalu bagi konsert jelajah Asia yang mendapat sambutan luar biasa...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by OMM Media Sdn Bhd