Sekurang-kurangnya lapan warga Israel dilaporkan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuk ketika transit ke negara lain di Asia.
Sebahagian miliki dwi kewarganegaraan
Menurut laporan portal berita Israel, Yeni Safak, sebahagian daripada mereka memiliki dwi kewarganegaraan, manakala yang lain hanya menggunakan pasport Israel.
Kesemua mereka sama ada dalam perjalanan ke Malaysia atau singgah transit sebelum meneruskan penerbangan ke destinasi lain.
Guna AL dapatkan nasihat
Dalam satu insiden terbaharu pada Rabu, empat warga Israel ditahan ketika dalam perjalanan transit ke Filipina.
Dua daripada mereka adalah wanita yang menggunakan pasport Israel dan ditahan pihak berkuasa.
Mereka mendakwa telah merujuk ‘chatbot’ kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan nasihat sama ada boleh melakukan transit di Kuala Lumpur dari Thailand ke Filipina dan diberitahu bahawa laluan itu tidak bermasalah.
Walau bagaimanapun, mereka akhirnya mengambil keputusan untuk kembali semula ke Thailand.
Dalam kes berasingan, dua lelaki Israel turut ditahan ketika dalam perjalanan dari Kemboja ke Filipina melalui Malaysia. Mereka dilaporkan ditahan selama dua hari sebelum dihantar pulang ke Kemboja.
Laporan itu menyebut, tempoh tahanan kebiasaannya antara 24 hingga 48 jam, namun boleh berlanjutan lebih lama bergantung kepada keadaan termasuk jika negara lain enggan menerima kemasukan mereka selepas dihantar pulang.
Kesemua individu terbabit sama ada dihantar kembali ke lokasi asal atau dibenarkan meneruskan perjalanan selepas campur tangan Kedutaan Israel di Singapura.
Duta Israel ke Singapura, Eliyahu Vered Hazan dilaporkan menasihatkan rakyat negaranya supaya tidak melancong ke Malaysia termasuk untuk tujuan transit. Beliau menegaskan bahawa amaran perjalanan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara Israel adalah jelas dan perlu dipatuhi.
“Elakkan perjalanan ke Malaysia, termasuk transit,” katanya.
Menurutnya, semua individu yang ditahan tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang, namun penahanan dibuat semata-mata kerana kewarganegaraan mereka.
Beliau turut mendakwa situasi semasa telah berubah khususnya selepas peristiwa 7 Oktober lalu dengan penahanan warga Israel didakwa semakin kerap berlaku.
“Situasi ini menyebabkan kesulitan, kelewatan dan kos tambahan kepada pelancong,” tegasnya.
Untuk rekod, Malaysia dan Israel tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi.
Sumber: Facebook Yeni Safak






































