Seorang individu tampil menjelaskan kekeliruan berhubung kematian pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Allahyarhamah Nurhazwani Abd Halim, 34, yang dilaporkan meninggal dunia di kolam renang sebuah hotel di Chukai, Kemaman pada Sabtu.
Pensyarah UiTM maut bukan sebab lemas!

Foto: Media sosial
Menurut Khalif Sidratul Muntaha yang mendakwa mengenali keluarga mangsa dan turut hadir di majlis pengebumian, penularan khabar angin yang mendakwa suami mangsa menjadi punca kematian adalah tidak benar.
“Saya rasa terpanggil untuk perbetulkan salah faham yang menyebabkan suami arwah difitnah netizen yang tidak tahu cerita sebenar. Ramai yang menuduh beliau sebagai suspek hanya kerana tajuk berita yang mengelirukan,” katanya dalam satu hantaran di Threads, hari ini.

Foto: Threads
Dia menjelaskan, tajuk berita yang menyatakan “pensyarah wanita lemas dalam kolam renang hotel” tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Untuk rekod, arwah tidak mati lemas. Beliau sebenarnya pengsan secara tiba-tiba ketika berada di dalam kolam renang bersama suaminya. Arwah juga pandai berenang,” jelasnya.
Menurut Khalif, suami mangsa segera cuba menyelamatkan isterinya dan melakukan bantuan pernafasan (CPR), namun usaha itu tidak berjaya.
“Punca sebenar mungkin disebabkan kehilangan kesedaran secara tiba-tiba sama ada sawan, serangan jantung, atau ‘syncopal attack’. Namun apa yang pasti, bukan lemas seperti yang difahami ramai,” ujarnya.
Artikel lain: Wanita Pengsan Empat Kali Kehilangan Dua Anak, Dua Cucu Dalam Kemalangan
Dia turut meluahkan rasa kecewa terhadap laporan media yang disifatkannya sebagai mengelirukan dan menyebabkan suami mangsa berdepan kecaman serta tuduhan tidak berasas.

Foto: Media sosial
“Betapa sedihnya suami yang baru kehilangan isterinya secara mengejut, kini menanggung pula fitnah dan tuduhan liar. Saya sendiri melihat betapa remuk hatinya,” katanya.
Khalif turut mendakwa bahawa Allahyarhamah sedang hamil tiga bulan ketika kejadian berlaku.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Semoga suaminya diberi kekuatan menghadapi ujian yang berat ini,” doanya.
Bagaimanapun, seorang netizen @theotherjourneyyyy tampil membela pihak media dengan menjelaskan laporan itu sebenarnya berpandukan kenyataan rasmi polis.

Foto: Threads
Netizen itu menjelaskan bahawa tajuk berita yang menggunakan frasa “lemas dalam kolam renang hotel” bukan rekaan media, sebaliknya berpunca daripada kenyataan dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam sidang akhbar.
“Maafkan saya tuan. Jika dirujuk pada sidang akhbar dari pihak polis, polis yang menyatakan ‘dia tiba-tiba disedari lemas oleh suaminya’. Wartawan hanya menulis berdasarkan sidang akhbar dari pihak polis,” tulisnya di ruangan komen hantaran tersebut.
Menurutnya lagi, kebanyakan portal berita menggunakan tajuk yang sama kerana berpandukan sumber dan kenyataan rasmi yang seragam.
“Sebab itu hampir semua media yang hadir sidang akhbar menggunakan tajuk yang sama. Jadi dalam hal ini, saya rasa pihak polis yang perlu betulkan kenyataan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mangsa yang bertugas di Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang ditemui tidak sedarkan diri oleh suaminya di kolam renang hotel, kira-kira jam 5.30 petang.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebelum jenazah dibawa ke Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Foto: Threads
Allahyarham kemudian selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas), Kajang malam tadi.
Sumber: Threads khalifsidratul
