Dalam sunyi pagi yang bermula dengan doa dan ditutup dengan kelegaan penuh syukur, sebuah perjalanan panjang akhirnya menemui noktah yang bermakna. Kecekalan, disiplin serta kecintaan terhadap kalam Ilahi menjadi saksi kejayaan seorang anak muda yang mengukir sejarah tersendiri di medan hafazan al-Quran.
Haryz raih pencapaian 93.28 peratus dalam Syahadah Ula
Seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Fateh, Haryz Irfan Wan Azrizul Azad, mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menamatkan Syahadah Ula, iaitu pengiktirafan tertinggi hafazan al-Quran di institusi tahfiz berkenaan.

Foto: TT @dunia_alfateh
Kejayaan tersebut sekaligus meletakkan beliau sebagai pelajar ke-12 yang menamatkan tahap tertinggi itu, menutup tirai tahun 2025 dengan detik penuh makna.
Menerusi perkongsian rasmi di akaun TikTok Maahad Tahfiz Al-Fateh, Haryz kelihatan tersenyum lega sejurus keputusan diumumkan, ditemani ibu bapa serta ahli keluarga yang setia berada di sisi sepanjang proses ujian berlangsung.

Foto: TT @dunia_alfateh
Momen tersebut melambangkan kelegaan selepas usaha panjang yang dicurahkan tanpa jemu.
Artikel lain: Elak Makanan Masam, Pelajar Tingkatan 1 Hafaz 30 Juzuk Al-Quran Dalam Tempoh Lima Bulan
Menurut kenyataan pihak maahad, Haryz memperoleh keputusan cemerlang dengan gred Jayyid Jiddan sertas markah keseluruhannya 93.28 peratus. Ujian yang bermula seawal jam 4.30 pagi itu hanya berakhir pada jam 10.20 malam, menuntut fokus, ketahanan mental dan disiplin yang tinggi.
“Alhamdulillah, penantian dan usaha sejak awal pagi akhirnya selesai. Kejayaan ini bukan sahaja hadiah buat diri sendiri, malah buat ibu bapa dan para guru,” tulisnya di kapsyen.

Foto: TT @dunia_alfateh
Difahamkan, pelajar Tingkatan Empat itu telah mengikuti sistem hafazan secara konsisten sejak Tingkatan Satu, melalui proses berperingkat yang menuntut komitmen berterusan.
Walaupun sedang mengikuti Program Fast Track SPM, kecintaannya terhadap al-Quran tidak pernah terhenti apabila beliau terus menghadiri kelas hafazan secara disiplin.
Untuk rekod, Syahadah Hafazan al-Quran mempunyai tiga peringkat utama. Peringkat tertinggi dikenali sebagai Syahadah Ula atau Syahadah Ulya.

Foto: TT @dunia_alfateh
Sebelum mencapainya, pelajar perlu melepasi Syahadah Thaniah yang memerlukan hafazan 15 juzuk al-Quran dalam tempoh satu hari, serta Syahadah Thalisa yang menuntut khatam al-Quran dalam masa tiga hari dengan sasaran 10 juzuk sehari.
Hanya pelajar yang berjaya melepasi salah satu daripada tahap ini layak dianugerahkan Syahadah Hafazan al-Quran.
Kejayaan Haryz menamatkan Syahadah Ula jelas mencerminkan kesungguhan luar biasa dalam menyeimbangkan tuntutan akademik dan hafazan.
Maahad Tahfiz Al-Fateh turut merakamkan ucapan tahniah kepada para guru, ibu-bapa, keluarga sertaa rakan seperjuangan yang tidak putus memberi sokongan sejak awal.
Semoga kejayaan Syahadah Ula ini menjadi saham pahala berterusan dan inspirasi kepada generasi huffaz akan datang.
Sumber: TikTok @dunia_alfateh







































