Seorang pegawai perubatan dakwa dikhianati Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila sistem pemilihan penempatan (E-placement) yang sepatutnya dibuka semula hari ini, tiba-tiba ditangguhkan ke saat akhir.
Lebih mengecewakan, penangguhan ini hanya dimaklumkan menerusi e-mel yang dihantar pada jam 11.45 malam, hari Sabtu, ketika cuti hujung minggu. Keputusan itu dikatakan membebankan pegawai perubatan yang telah merancang dan membuat persediaan, termasuk mengambil cuti dan menukar jadual kerja.
Dalam perkongsian di Facebook, seorang pegawai perubatan, Tya Roslan, mempersoalkan etika serta profesionalisme KKM yang menurutnya seolah-olah mempermainkan nasib mereka.
“Adakah ini taktik supaya kami tidak dapat menghubungi anda? Berapa kali mahu tangguh? Apa sebenarnya agenda di sebalik semua ini?” luahnya.
![]()
![]()
Pegawai Perubatan Dakwa Dikhianati
Menurutnya lagi, ramai pegawai perubatan telah berkorban untuk mengisi E-placement pada 27 Februari lalu, namun permohonan tersebut secara tiba-tiba dibatalkan tanpa sebarang penjelasan rasmi daripada KKM.
Bagaimanapun mereka hanya diketahui menerusi laporan media.
Walaupun ramai menerima keputusan itu dan bersedia mengisi semula pada tarikh baharu, mereka sekali lagi dikecewakan dengan pengumuman penangguhan terbaru ini.
Tya turut menegaskan bahawa selepas bertahun-tahun melalui pelbagai cabaran untuk bergelar pegawai perubatan, mereka sepatutnya menjadi aset negara dan tidak seharusnya dilayan seolah-olah tiada harga diri.
Dia juga memberi amaran bahawa jika situasi ini berterusan, ramai pegawai perubatan mungkin memilih untuk meletak jawatan dan berhijrah ke tempat lain, sekali gus memperburuk masalah kekurangan doktor di Malaysia.
“Tolong libatkan kami dalam setiap keputusan. Kami bukan boneka yang boleh diperlakukan sesuka hati. Jika ini berterusan, sistem kesihatan negara mungkin runtuh dalam masa terdekat,” katanya dengan nada kesal.
Artikel lain: Waktu Menunggu Di Klinik Kerajaan Dipendekkan Dari 3 Jam Kepada 30 Minit – KKM
Sementara itu, Kumpulan Hartal Doktor Kontrak (HDK) mendesak KKM bertanggungjawab atas pembatalan dan penjadualan semula penempatan serta menuntut pemindahan segera pihak terlibat.
Mereka juga menyifatkan isu ini sebagai memalukan dan jika Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terus berdiam diri, ia mencerminkan kelemahan kepimpinannya.
Sebelum ini, media melaporkan KKM membatalkan pemilihan penempatan 2,245 Pegawai Perubatan Gred UD10 yang dibuat pada 27 Februari lalu susulan gangguan teknikal pada sistem ePlacement.
Sumber: Sinar Harian (Roskhoirah Yahya), FB Tya Roslan
