Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat insiden tular melibatkan sekumpulan individu termasuk seorang pemain kelab bola sepak Indonesia yang didakwa menghina anggota polis ketika pemeriksaan dijalankan.
Menerusi kenyataan di Facebook, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan berhubung video yang tersebar di media sosial berkaitan kejadian itu.
Menurut beliau, siasata awal mendapati rakaman tersebut dibuat semasa anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan di kawasana Subang Jaya.
Artikel lain: Pemain Bola Indonesia Dikecam Dakwa Polis Malaysia Minta Duit
“Pemeriksaan dilakukan secara tertib dan mengikut prosedur ditetapkan. Semua individu yang terlibat telah dilepaskan selepas pemeriksaan selesai.
“Namun, terdapat video lain yang tular menunjukkan ulasan semula kejadian dengan tuduhan mengaibkan terhadap anggota polis berkenaan,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dengan niat membangkitkan pecah keamanan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian.
Wan Azlan turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebrang kenyataan atau ulasan melulu yang boleh menjejaskan imej pasukan keselamatan serta menimbulkan kekeliruan awam.
“PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan tuduhan palsu atau berunsur fitnah terhadap polis.
“Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627100 atau mana-mana balai polis berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang pemain bola sepak Indonesia bersama beebrapa rakanna ditahan polis selepas didakwa memandu secara melawan arus.
Dalam rakaman itu, anggota polis dilihat meminta mereka menunjukkan pasport, namun dipercayai gagal berbuat demikian.
Anggota terbabit turut menasihati kumpulan itu supaya membawa pasport sepanjang berada di Malaysia.
Bagaimanapun, pemain terbabit kemudiannya memuat naik video lain yang memberi gambaran seolah-olah anggota polis terbabit meminta wang walaupun tiada sebarang bukti jelas menunjukkan perkara itu berlaku.
Sumber: Facebook @Polis Daerah Subang Jaya







































