Lebih 200 ilmuwan dari dalam dan luar negara bakal berkumpul di Persidangan Agung Karya Agung Melayu (PAKAM 2025) yang akan berlangsung di Putrajaya, pada 23 hingga 25 Oktober 2025 nanti.
Difahamkan, Persidangan ini juga merupakan sambutan daripada cetusan idea oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) yang berlangsung pada 27-29 November 2024.
Menerusi festival tersebut, beliau menekankan perlunya penguasaan terhadap karya agung Melayu melalui pendekatan kreatif dan inovatif untuk mengembalikan minat terhadap sejarah dan warisan Melayu, terutamanya dalam membentuk pemikiran versi Melayu dalam kalangan generasi muda yang lebih mengenali karya barat.
PAKAM 2025 hadirkan ilmuan dari pelbagai negara
Persidangan itu akan menjadi platform penting untuk menyoroti kepelbagaian penyelidikan terkini mengenai Karya Agung Melayu seperti Sulalat al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah serta kaitannya dengan kecerdasan buatan (AI).
Tokoh akademik dari Belanda, Indonesia, Brunei, Thailand dan Malaysia antara yang dijangka hadir, sekali gus bagi berbincang serta bertukar pendapat agar mampu mengukuhkan kedudukan karya agung Melayu sebagai warisan ilmu yang terus relevan di persada dunia.
Objektif utama PAKAM 2025 teknologi AI dengan Karya Agung Melayu
Dalam pada masa yang sama, fokus utama kepada PAKAM 2025 adalah untuk meningkatkan pemahaman tentang karya agung Melayu dalam era kecerdasan buatan (AI).
Persidangan tersebut pastinya memberi peluang buat para ilmuan meneroka transformasi karya agung terbabit dalam era digital dan globalisasi ini.
Ia sekaligus mampu memperkasakan korpus karya agung Melayu di peringkat antarabangsa dan menjana penyelidikan baharu.
Langkah terbabit pastinya dapat menyemai kesedaran tentang pemeliharaan terhadap warisan berkenaan terutamanya kepada generasi masa kini.
PAKAM 2025 tampil 16 kertas kerja
Dengan mengangkat tema “Karya Agung Melayu: Penyatuan antara Tradisi dan Teknologi”, persidangan ini bakal menampilkan 16 kertas kerja yang akan membahaskan bagaimana khazanah silam mampu dihubungkan dengan cabaran serta peluang era digital.
Naskah Hamzah Fansuri
Majlis perasmian juga akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tanda sokongan padu kerajaan dalam usaha memartabatkan karya agung Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Penganjur PAKAM 2025 main peranan tepat
Sebagai penganjur bersama, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilihat terus menjuarai agenda dalam memperkasakan bahasa, budaya dan tamadun watan.
Melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), khususnya Pusat Penyelidikan Manuskrip Alam Melayu, UKM memainkan peranan penting mengangkat penyelidikan manuskrip Melayu ke peringkat antarabangsa.
Misa Melayu
Menurut Pakar Manuskrip Melayu, Prof. Madya Dr Salmah Jan, manuskrip Melayu dianggap sebagai ‘kalam agung’ dalam sejarah peradaban Melayu disebabkan kandungannya yang merangkumi nilai ilmu, agama, budaya dan falsafah.
“Manuskrip Melayu adalah khazanah ilmu yang merakam sejarah, falsafah dan pandangan dunia Melayu. Ia ibarat kalam agung yang membentuk tamadun,” ujarnya dalam temu bual di Program Cakna Bahasa.
Dengan pelbagai ilmu yang terkandung dalam manuskrip Melayu meliputi agama, undang-undang, perubatan, sastera dan ilmu bintang, ia pastinya mencerminkan keluasan intelektual masyarakat Melayu.
Namun, untuk memastikan manuskrip-manuskrip ini terus terjaga dan terpelihara bukanlah sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi dengan cabaran utamanya seperti kerosakan fizikal.
Susulan daripada itu, Penyelidik Manuskrip dan Warisan, Ts. Dr. Ros Mahwati menyatakan antara usaha dilakukan untuk memelihara manuskrip ini adalah dengan mendigitalisasikan dan mengkatalongkan khazanah ilmu terbabit sebelum dipamerkan kepada umum.
“Institusi penyelidikan kini mendigitalkan katalog dan mengadakan pameran serta wacana umum kepada masyarakat,” jelasnya.
Hikayat Hang Tuah
Artikel lain: Program Sentuhan Komuniti Bestari: PNM Angkat Perpustakaan Desa Sebagai Pusat Ilmu
Jadi platform wacana global
Justeru itu, dengan penganjuran PAKAM 2025 nanti, ia akan menjadi platform terbaik wacana global dalam melestarikan karya agung Melayu ini.
Pertemuan ilmuan-ilmuan yang sememangnya pakar dalam bidang tersebut sudah tentu melahirkan resolusi penting supaya warisan lampau berkenaan terus terjaga.
Persidangan tersebut juga pastinya bakal membuka ruang membina naratif baharu tentang masa depan tamadun Melayu dalam dunia moden yang kini dipacu teknologi kecerdasan buatan.
