Connect with us

Hi, what are you looking for?

Lokal

Naik Had Persaraan Jejas Peluang Anak Muda – AMANAH

Usul menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 ke 65 tahun terus menjadi perbincangan hangat, terutama dalam kalangan belia yang bimbang peluang pekerjaan mereka akan terjejas.

Menurut laporan Malaysia Gazette, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Nasional, Danial Al-Rashid menyuarakan kebimbangan bahawa langkah ini berisiko menutup ruang pekerjaan buat generasi muda dan memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan tenaga kerja negara.

“Langkah menaikkan umur persaraan hanya akan mengecilkan ruang pekerjaan untuk anak muda.
“Hari ini, ramai graduan masih belum mendapat pekerjaan tetap, dan ramai pula yang berpendapatan rendah walaupun sudah berada dalam pasaran kerja,” katanya.

Foto: Malaysia Gazette

Danial berpadangan bahawa kerajaan wajar mengekalkan umur persaraan pada 60 tahun atau sekurang-kurangnya mempertimbangkan semula had 55 tahun seperti yang pernah diamalkan dahulu.

Memetik data terkini dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), lebih 60,000 graduan masih belum mendapat pekerjaan tetap setakat 2024.

Sementara itu, laporan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menunjukkan bahawa lebih 70 peratus pencarum baharu yang berumur di bawah 30 tahun hanya memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM3,000.

Advertisement. Scroll to continue reading.
“Apabila pekerja sedia ada tidak bersara dan kekal dalam sistem terlalu lama, peluang untuk generasi muda masuk dan naik dalam kerjaya menjadi sangat terhad. Ini akhirnya melambatkan pertumbuhan tenaga kerja negara,” ujarnya.

Danial turut menegaskan bahawa persaraan perlu dilihat sebagai satu fasa kehidupan yang sepatutnya diisi dengan aktiviti bermakna seperti menyertai komuniti, kerja-kerja sukarelawan atau menghabiskan masa bersama keluarga dan bukannya terpaksa bekerja demi kelangsungan hidup.

“Dengan jangka hayat rakyat Malaysia kini melebihi 75 tahun, adalah wajar untuk warga emas diberi ruang menikmati kehidupan persaraan yang tenang, terlibat dalam aktiviti komuniti, sukarelawan, atau menjaga keluarga,” tambahnya.

Walaupun beliau mengakui terdapat warga emas yang masih aktif dan sihat selepas usia 60 tahun, Danial menekankan bahawa faktor kesihatan dan ketahanan fizikal tidak boleh diambil mudah – khususnya bagi mereka yang bekerja dalam sektor pembinaan, keselamatan, pengangkutan dan barisan hadapan.

Foto: Media Sosial

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH menyeru agar kerajaan tidak tergesa-gesa membuat keputusan berkaitan kenaikan umur persaraan.

Sebaliknya, satu kajian terperinci perlu dijalankan bagi menilai impak sosial dan ekonomi terhadap struktur tenaga kerja serta kesejahteraan golongan pesara.

“Persaraan bukan soal tidak mampu bekerja, tetapi soal memberi laluan kepada generasi baharu untuk menyumbang, sambil memastikan warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih bermaruah,” tegasnya.

Sumber: Malaysia Gazette (Nur Syafiqah Mohd Jemmi)

Ditulis oleh

Advertisement

Artikel Menarik Lain

Sosial

Pempengaruh media sosial, Aqil Zulkiflee, tampil menjelaskan hubungannya bersama isteri selepas video siaran langsung TikTok yang memaparkan beliau menyakat isterinya tular di media sosial....

Sosial

Pihak pengurusan Masjid At-Taqwa TTDI tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan dakwaan insiden layanan kasar terhadap jemaah yang tular baru-baru ini. Masjid At-Taqwa...

Sosial

Tindakan pempengaruh dan usahawan terkenal, Faiz Soul menjual donat seketul dengan harga RM10 kini mencetuskan perdebatan hangat di kalangan netizen. Donat kosong seperti didakwa...

Sosial

Seorang sami Hindu, Sai, bersama beberapa aktivis daripada pelbagai kaum telah menyertai gotong-royong bersihkan kuil haram yang dibina tanpa kebenaran di negara ini, menekankan...

Advertisement

Hakcipta © 2018 Borakdaily.com, Powered by Infinity Media Digital Sdn Bhd