ZUS Coffee tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden membabitkan salah seorang pekerjanya atau Zurista yang disimbah minuman oleh pelanggan wanita di sebuah cawangannya pada 9 November lalu.
Menurut syarikat itu, kejadian berkenaan telah menimbulkan situasi tegang di premis, namun laporan polis telah dibuat pada hari Isnin bagi memastikan keselamatan serta melindungi privasi pekerja yang terlibat.
“Zurista kami telah mengalami situasi yang tegang di premis. Laporan polis telah dibuat pada hari Isnin untuk memastikan keselamatan serta melindungi privasinya,” kata ZUS Coffee dalam kenyataan.
Zurista Disimbah Minuman Kekal Bersama Kami
Tambahnya, pekerja terbabit masih kekal bersama syarikat dan kini sedang bercuti bergaji untuk pulih daripada kejadian tersebut.
“Zurista yang terlibat kekal bersama kami dan kini sedang mengambil cuti bergaji untuk pulih daripada insiden tersebut. Kesejahteraannya kekal menjadi keutamaan kami,” jelas kenyataan itu lagi.
ZUS Coffee turut menegaskan pihaknya komited memperkukuh sistem sokongan dan latihan dalaman bagi menangani cabaran dengan profesionalisme dan empati.
Dalam pada itu, syarikat tersebut menyeru orang ramai agar menghormati kesejahteraan mental pekerja terbabit dengan tidak menyebarkan atau mendedahkan identiti individu berkenaan.
“Kami memohon komuniti membantu memadamkan hantaran yang mendedahkan identiti kerana penyebaran berterusan boleh membawa kesan yang nyata dan berpanjangan.
“Di ZUS, kami tidak bertolak ansur dengan tingkah laku agresif dan kami komited untuk memastikan premis kami kekal selamat untuk komuniti,” jelas kenyataan itu.
Artikel lain: ZUS Coffee Siasat Insiden Tular Barista Disimbah Minuman
Terdahulu, zurista tersebut disimbah minuman oleh pelanggan wanita sambil mengeluarkan kata-kata kesat dipercayai akibat daripada kelewatan dalam menyediakan pesanan.
Menurut netizen, pelanggan terbabit dipercayai berasal dari China berdasarkan loghat yang dituturkan.
Sumber: FB ZUS Coffee










































