Seorang wanita warga Malaysia yang terkandas di Lombok, Indonesia sejak 18 tahun lalu akhirnya selamat dibawa pulang ke tanah air pada Sabtu, selepas sekian lama terpisah daripada keluarga.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah berkata, wanita berkenaan, Norida Akmal Ayob, 45, sebelum ini mengikuti suaminya yang juga warga Indonesia ke Lombok bersama anak perempuan mereka dan menetap di sana.
“Bagaimanapun, perkahwinan Norida tidak kekal dan akhirnya beliau hidup sendirian, susah dan daif.
“Dia mencari rezeki sebagai tukang sapu demi meneruskan hidup bersama anak-anak setelah berpisah dengan suaminya yang berkahwin lain,” kongsi beliau menerusi satu hantaran Facebook pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, Norida dan dua anaknya berjaya dibawa pulang hasil kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa Indonesia terutama pihak imigresen.
Wanita Malaysia Terkandas Di Lombok Selamat Kembali
Menurutnya, Norida mempunyai dua anak iaitu Nur Fateen Akmadiana yang lahir di Malaysia dan berstatus warga Malaysia, manakala Muhamad Sabani Daniel pula warga Indonesia kerana dilahirkan di negara tersebut.
Shamsul Anuar berkata, beliau mengetahui hasrat wanita itu untuk kembali ke Malaysia selepas keluarganya di Kampung Bukit Sapi, Lenggong datang menemuinya dan memaklumkan keadaan Norida.
“Saya dimaklumkan Norida berada dalam keadaan serba kekurangan, anak-anaknya tidak dapat meneruskan persekolahan dan terbiar,” ujarnya lagi.
Artikel lain: Kes Wanita Dikerat: Anak Dedah Ibu Sudah Bayar RM7,000 Selepas Pertunangan Diputuskan
“Saya telah menghantar Pegawai saya yang diketuai Datuk Dazma Shah Daud ke Lombok Indonesia bersama Setiausaha Sulit saya ke Lombok bagi urusan membawa pulang.
“Alhamdulillah, kini mereka selamat pulang ke tanah air,” tambah beliau.
Kepulangan Norida selepas hampir dua dekad menjadi detik penuh emosi buat keluarga yang sekian lama menanti, sekali gus menamatkan episod getir kehidupan yang dilalui wanita itu di perantauan.
Sumber: FB Shamsul Anuar Nasarah












































