Syarikat Sin Sing Coffee Sdn Bhd tampil menafikan dakwaan yang mengaitkan mereka dengan penarikan sijil halal susulan isu penggunaan berus bulu babi yang tular di media sosial sejak Rabu.
Syarikat sentiada patuji piawai
Dalam kenyataan rasmi, syarikat itu menjelaskan bahawa maklumat serta gambar yang tersebar langsung tidak berkaitan dengan operasi mereka, malah bukan melibatkan persekitaran atau peralatan pengeluaran milik mereka.
Sin Sing Coffee turut menegaskan mereka hanya memfokuskan kepada pengeluaran produk kopi dan tidak menghasilkan sebarang produk biskut seperti didakwa.
“Syarikat kami sentiasa mematuhi piawaian dan keperluan pensijilan halal Malaysia.
“Semua proses pengeluaran adalah selaras dengan garis panduan kebersihan serta syariah yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Dakwaan guna berus bulu babi
Terdahulu, laporan menyebut Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah menarik sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri itu selepas disyaki menggunakan berus daripada bulu haiwan dalam kerja pembersihan peralatan.
Namun, ketiadaan pendedahan nama kilang berkenaan telah mencetuskan spekulasi dalam kalangan pengguna media sosial yang mengaitkan isu tersebut dengan Sin Sing Coffee.

Sekadar gambar hiasan
Menjawab perkara itu, syarikat berkenaan menegaskan status halal mereka masih sah dan diiktiraf, malah boleh disemak melalui portal rasmi Halal Malaysia.
Dalam masa sama, syarikat yang telah beroperasi lebih 67 tahun itu menasihati orang ramai agar tidak mempercayai maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham.
Sumber: Instagram singsingcoffee






































