Sebuah restoran di Seremban diarahkan menutup operasi selama 14 hari bermula semalam dan kompaun selepas tular aduan di media sosial memaparkan pengendali makanan yang cuci sisa makanan untuk dimasak semula pada hari berikutnya.
Cuci sisa makanan untuk dimasak semula!
Menurut Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS), siasatan segera telah dijalankan terhadap premis berkenaan mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 serta menerima notis kompaun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Kami mengambil maklum aduan yang tular di media sosial mengenai pengendali makanan yang mencuci saki baki makanan seperti daging ayam, daging kambing dan tauhu.
“Ia didakwa daripada lebihan masakan yang tidak habis dijual untuk dimasak semula pada keesokan hari dipercayai berlaku di sebuah restoran di Seremban,” katanya.
Artikel lain: Demi Retainer Gigi Ratusan Ringgit, Remaja Sanggup Selongkar Sisa Makanan! – “Kali Kedua Hilang”
JKNNS berkata, kebersihan dan keselamatan makanan adalah tanggungjawab utama pemilik dan pengendali makanan di mana pengabaian aspek ini boleh mendatangkan risiko keracunan kepada orang ramai.
“Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan makanan dengan mengamalkan “Perhati dan Pilih” semasa memilih premis makanan serta amalkan Lihat Hidu Rasa kerana ia langkah paling mudah untuk mengelakkan keracunan makanan.
“JKNNS sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna, ” ujarnya.

Foto: Sinar Harian
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan pengalaman mengejutkan seorang individu yang mendakwa melihat sendiri insiden tersebut berlaku di belakang premis berkenaan sekitar jam 12.18 tengah malam pada hari Selasa.
Sumber: Facebook JKNNS







































