Polis kini menjalankan siasatan berhubung satu insiden yang tular di media sosial melibatkan sebuah treler yang dipercayai merempuh beberapa kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh, di sini, semalam.
Menurut laporan Belutin TV3, rakaman video serta gambar yang dikongsi pengguna media sosial memaparkan beberapa kenderaan rosak, termasuk sebuah Perodua Alza yang ketika itu diparkir di bahu jalan, dipercayai akibat dilanggar dan diseret oleh treler berkenaan ketika cuba memasuki laluan ke R&R tersebut.
Artikel lain: Treler Alami Masalah Enjin Sebabkan Van Sekolah Rempuh Dari Belakang
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Lebuh Raya (USLR) Bukit Aman.
“Kes ini membabitkan sebuah kenderaan berat jenis treler serta tiga buah kereta persendirian. Siasatan terperinci masih diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian tersebut, sebaliknya memberi ruang dan kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lancar.
Sumber: Buletin TV3 (Farhana Yaacob)







































