Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menjuarai gelaran Masters Indonesia, hari ini.
Dalam aksi final yang mendebarkan di Istora Senayan, pasangan nombor empat dunia itu menundukkan gandingan Denmark, Mathias Christiansen dan Alexandra Boje, dalam pertarungan tiga set yang berakhir 15-21, 21-17, 21-11.
Perlawanan selama 57 minit itu menyaksikan Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul gelaran juara keenam dalam karier mereka dan menambah manis pada penampilan final ke-10 mereka di pentas Jelajah Dunia BWF.
“Set pertama agak mencabar kerana kami belum menemui rentak permainan sebenar, tetapi kami percaya dengan kemampuan sendiri untuk bangkit,” kata Chen Tang Jie selepas perlawanan, petik BH Online.
Pada set pertama, gandingan negara yang merupakan pilihan ketiga kejohanan memulakan perlawanan agak perlahan, membolehkan lawan menang 15-21.
Namun, set kedua menyaksikan mereka kembali memperkemaskan permainan.
Tang Jie-Ee Wei Bangkit Juarai Masters Indonesia
Selepas kedudukan terikat 12-12, Tang Jie-Toh Ee Wei menekan lawan untuk mendahului 17-12 dan mengekalkan momentum sehingga menutup set dengan kemenangan 21-17.
Set penentuan pula menyaksikan aksi lebih agresif daripada pasangan negara, sekali gus menamatkan perlawanan dengan skor 21-11 dan memastikan gelaran jatuh ke tangan mereka dengan bergaya.
Kejayaan di Jakarta juga menyaksikan Tang Jie-Toh Ee Wei memperbaiki rekod pertemuan mereka menentang Christiansen-Boje kepada 3-1, sekaligus melunaskan dendam kekalahan pada pertemuan terakhir di Terbuka Macau September tahun lalu.
Sumber: BH Online (Khairil S Iswan), FB ShuttleHard – Badminton Malaysia











































