Seorang lelaki berusia 29 tahun yang disyaki terbabit dalam pembunuhan ibunya ditahan polis malam tadi ketika dalam perjalanan ke Selangor, lapor Harian Metro.
Suspek disyaki bunuh ibu ditahan
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, suspek ditahan pada jam 8.34 malam oleh pasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Foto: Harian Metro
Syed Basri berkata, penahanan suspek berlaku kurang daripada 24 jam selepas kejadian, ketika lelaki itu menaiki bas persiaran di Kilometer 441.5 arah selatan, Lebuhraya Utara-Selatan.
“Dia ditahan untuk membantu siasatan kes bunuh seorang wanita berusia 52 tahun yang berlaku di sebuah kawasan perumahan di bandar raya ini semalam.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif, ” katanya seperti dilaporkan hari ini.
Tambahnya, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar selepas penahanan dan direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 9 Februari depan.
Artikel lain: Eksekutif Bank Ditemukan Maut Dengan Tiga Kesan Tikaman, Anak Lelaki Diburu
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Shifa Mohd Hamzah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, selain sebatan.
“Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar, dan mereka boleh disiasat di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan serta dikenakan hukuman sewajarnya, ” ujarnya.
Terdahulu, seorang wanita dikenal pasti sebagai Zahrullail Basir, 52, yang bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah bank ditemui meninggal dunia di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, pada Isnin dengan tiga kesan tikaman di badan.

Foto: Media sosial
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesan tikaman termasuk di dada dan tangan dipercayai akibat senjata tidak dikenal pasti kemungkinan gunting atau pisau.
Difahamkan, Allahyarham Zahrullail bakal mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan seorang rakan lama yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat depan.
Sumber: Harian Metro (Zuliaty Zulkiffli)







































