Tular kisah seorang lelaki dikenali sebagai Syed yang mendakwa dirinya ditipu selepas berkahwin dengan wanita bergelar isteri orang.
Namun kini, suami pertama wanita terbabit, Baki, tampil memberi penjelasan bagi membersihkan nama dan menjernihkan kekeliruan yang timbul.
Dalam satu hantaran panjang di TikTok, Baki menjelaskan bahawa rumah tangganya bersama wanita bernama Husna atau Una sebelum ini tidak pernah bermasalah, sehinggalah isterinya mula mengenali Syed melalui kumpulan kereta Axia.
“Sebelum saya berpisah dengan Husna, rumah tangga kami memang tiada masalah.
“Tapi sejak dia join group kereta Axia dan kenal dengan Syed, hubungan mereka makin rapat dan bercinta. Masa tu, Husna masih isteri saya yang sah,” katanya.
Suami Pertama Cabar Suami Kedua Pergi Pejabat Agama
Baki berkata, dia pernah cuba mencari Syed untuk berbincang secara baik, namun gagal apabila lelaki itu didakwa membloknya di TikTok.
Akibat tekanan berpanjangan, rumah tangganya akhirnya berakhir dengan penceraian.
“Selepas saya berpisah, mereka dikatakan berkahwin di Thailand. Saya baru tahu tentang perkahwinan tu pada malam Jumaat, 31 Oktober 2025,” jelasnya.
Bagaimanapun, Baki menafikan dakwaan Syed bahawa dia memalsukan dokumen perceraian dengan bekas isterinya itu.
Menurutnya, sijil perceraian tersebut sah dan masih berada di pejabat agama atas urusan tertentu.
“Kalau Syed tak puas hati, sila hubungi saya. Kita pergi pejabat agama atau buat laporan polis kalau dokumen tu palsu. Saya tak pernah palsukan dokumen cerai,” tegasnya.
Dalam masa sama, Baki turut mencabar Syed hadir ke pejabat agama bagi membuktikan kebenaran dan menamatkan segala tuduhan yang dilemparkan.
“Kalau dia di pihak benar, datang jumpa saya di pejabat agama. Jangan terus sebarkan fitnah dan viralkan gambar saya,” katanya.
Terdahulu, Syed mendakwa dirinya tidak mengetahui status sebenar isterinya, Husna, yang rupa-rupanya sudah berkahwin ketika mereka mula bercinta sebelum melangsungkan perkahwinan di Thailand.
Kini, penjelasan daripada suami pertama, Baki, membuka dimensi baharu terhadap kisah yang hangat diperkatakan itu di media sosial.
Sumber: TikTok muhammadbaky6894












































